‘Ghempoh sampai podium’: Perlis cipta rekod di Sarawak

- Advertisement -

KUCHING: Sekali lagi, Perlis membuktikan bahawa saiz negeri bukan ukuran kekuatan apabila kontinjen negeri itu muncul Naib Juara Keseluruhan dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) XXII 2025 yang berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching.

- Advertisement -

Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama Perlis di pentas kebangsaan, malah membuktikan bahawa negeri terkecil di Malaysia itu memiliki semangat juang, disiplin dan daya saing luar biasa dalam kalangan atlet pekak tanah air.

Kontinjen Perlis mencipta detik bersejarah apabila berjaya membawa pulang 4 pingat emas, 4 pingat perak serta mencipta 4 rekod baharu dalam acara olahraga, sekali gus menempatkan diri sebagai antara kontinjen terbaik seluruh negara.

Seramai 13 atlet anak jati Perlis menyertai temasya kali ini yang mempertandingkan lima acara utama, iaitu olahraga, badminton, futsal, tenpin boling dan orienteering yang bermula dari 2 hingga 6 Oktober 2025.

Dalam acara olahraga, Muhammad Sharul Azmer Azman membuka tirai kejayaan Perlis apabila memenangi emas dalam acara 400 meter lari berpagar dengan catatan masa 59.74 saat, sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.

Kecemerlangan diteruskan dalam acara 4×100 meter lelaki apabila gandingan mantap Hazraf Shah Hamri, Hazrul Shah Hamri, Muhammad Sharul Azmer Azman dan Zaiman Megat Abu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 44.79 saat, sekaligus memecahkan rekod terdahulu.

Atlet serba boleh Zaiman Megat Abu turut mencuri tumpuan apabila menambah dua lagi emas buat Perlis dalam acara lompat jauh dan lompat kijang.

Beliau bukan sahaja menjuarai kedua-dua acara tersebut, malah turut mencipta dua lagi rekod baharu dengan catatan 6.99 meter (lompat jauh) dan 14.82 meter (lompat kijang), mengatasi rekod lama 14.19 meter.

Kejayaan ini menjadi simbol kekuatan disiplin, latihan tersusun dan semangat kental para atlet pekak Perlis yang tidak pernah menjadikan kekurangan sebagai alasan untuk berundur.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian luar biasa kontinjen negeri itu.

“Alhamdulillah, satu pencapaian yang membanggakan! Kontinjen Perlis berjaya merangkul tempat ke-2 dengan meraih 4 pingat emas dan 4 pingat perak serta mencipta 4 rekod baharu dalam acara Olahraga SOPMA XXII Sarawak 2025.

“Syabas dan tahniah kepada semua atlet, jurulatih serta pegawai yang telah berjuang membawa nama negeri ke pentas kebangsaan.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus cemerlang pada kejohanan akan datang,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Mohd Shukri turut menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan keberkesanan dasar negeri dalam memperkasa sukan komuniti istimewa serta mengangkat agenda inklusi sosial ke peringkat nasional. – HARAKAHDAILY 9/10/2025

- Advertisement -