
MARANG: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan bahawa perjanjian gencatan senjata yang sedang berlangsung di bumi Gaza ketika ini merupakan satu kemenangan moral kepada perjuangan HAMAS dan umat Islam di sana.
Menurut Ketua Penerangannya, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah, gencatan senjata tersebut menjadi petanda awal kekalahan besar kepada kelangsungan serangan rejim Zionis yang selama ini melakukan tindakan genosid ke atas penduduk Gaza.
Katanya, perjanjian antara HAMAS dan Israel itu wujud daripada keperluan mendesak untuk meredakan konflik berpanjangan di wilayah terbabit yang telah mengorbankan ribuan nyawa, memusnahkan infrastruktur asas serta menjerumuskan rakyat Palestin ke dalam krisis kemanusiaan yang parah.
DUPP menyatakan bahawa tekanan antarabangsa dan desakan daripada negara-negara dunia termasuk inisiatif masyarakat global yang mengangkat nama Palestin, telah menundukkan rejim Zionis yang sekian lama mendapat sokongan kuat daripada Amerika Syarikat (AS).
“Suara masyarakat dunia yang memberikan dukungan terhadap perjuangan Palestin kini tidak lagi boleh dipandang mudah.
“Malah rejim Zionis turut berdepan tekanan hebat daripada rakyatnya sendiri,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini.
Fasa pertama perjanjian genjatan senjata ini, jelasnya, dijangka memberikan sedikit ruang kelegaan kepada rakyat Gaza dengan membolehkan bantuan kemanusiaan masuk serta mengurangkan tahap keganasan.
Ia juga membuka ruang diplomasi yang lebih luas untuk membincangkan isu-isu penting seperti pentadbiran Gaza, keselamatan serantau dan hak-hak politik rakyat Palestin.
Namun begitu, DUPP mengingatkan bahawa cabaran besar masih wujud termasuk isu kepercayaan, pemantauan dan jaminan keberkesanan jangka panjang perjanjian tersebut.
HAMAS, katanya, menegaskan bahawa penyertaan mereka dalam rundingan ini adalah langkah taktikal untuk melindungi rakyat Palestin daripada kerosakan yang lebih besar dan tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap Israel.
“HAMAS tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.
“Penglibatan mereka hanyalah strategi sementara demi memberi ruang rakyat Gaza bernafas dan terus bertahan,” tegas Mohd Nor.
Beliau menambah, dunia Islam seharusnya bersatu dalam mendukung perjuangan HAMAS dengan mendesak kemerdekaan sepenuhnya buat Palestin, bukannya tunduk kepada desakan pelan damai yang hanya menguntungkan rejim Zionis dan sekutunya.
“Kesatuan dalam kalangan negara umat Islam perlu diperkukuh dengan desakan agar rejim Zionis serta para pemimpinnya menerima hukuman setimpal daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mahupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas jenayah perang yang dilakukan di Gaza,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan menentang kezaliman Zionis tidak akan berakhir selagi dunia Islam belum bersatu bagi memastikan Palestin dimerdekakan sepenuhnya daripada cengkaman rejim penjajah. – HARAKAHDAILY 10/10/2025




















