Pemetaan baharu Timur Tengah sedang berlangsung

Netanyahu menunjukkan peta pelan baharu Timur Tengah dalam Persidangan Agung PBB pada 22 September 2023.
- Advertisement -

Konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah yang menjadi pusat kepada Dunia Islam pada hari ini perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas. Ia adalah manifestasi pakatan Imprealisma Barat dan gerakan Zionis yang bermula sejak abad ke 17 lagi bagi mencapai matlamat penguasaan ke atas Dunia Islam. Matlamat Imprealisma Barat adalah dendam kesumat Perang Salib serta penguasaan sumber ekonomi dunia, manakala matlamat gerakan Zionis pula adalah penubuhan “The Greater Israel” bagi mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman yang diidami mereka sejak zaman berzaman.

Selepas kekalahan Khilafah Uthmaniyah pada Perang Dunia Pertama, perjanjian Syke-Picot antara Britain dan Perancis yang dimeterai pada tahun 1916 dikuatkuasakan dengan Britain menguasai Palestin, Jordan dan selatan Iraq manakala Perancis pula menguasai Syria, Lubnan, wilayah Kurdis dan tenggara Turkiye.  

- Advertisement -

Persidangan Damai Paris yang diadakan antara tahun 1919 dan 1920 antara kuasa besar dunia yang memenangi Perang Dunia Pertama iaitu Perancis, Britain, Amerika Syarikat dan Itali mengesahkan lagi penguatkuasaan perjanjian Skye-Picot antara Perancis dan Britain. Persidangan tersebut juga mengesahkan lagi empat perjanjian lain yang telah merubah “peta” sebahagian besar Asia, Afrika, Eropah dan juga kepulauan Pasifik.

Gerakan untuk menubuhkan “The Greater Israel” yang disarankan oleh Bapa Zionis, Theodor Herzl sejak penubuhannya pada tahun 1896 membuahkan hasil satu demi satu akibat kelicikan gerakan Zionis menguasai kuasa-kuasa besar Barat serta kelemahan umat Islam sendiri yang berpecah belah sesama mereka.

Dengan berpandukan kepada transkrip lama Theodor Herzl “from The Brooks of Egypt to the Eupharates” dan The Oded Yinon Plan, pimpinan Zionis Israel yang diketuai Benjamin Netanyahu pada hari ini sedang melaksanakan pelan pemetaan baharu Timur Tengah iaitu “The Greater Israel” sebagaimana yang tertera pada baju anggota tentera regim Zionis Israel yang dipakai dalam peperangan di Gaza dan Selatan Lubnan pada hari ini. Justeru, peperangan yang sedang berlaku ketika ini sebenarnya adalah pelaksanaan “The Greater Israel” dengan meluaskan lagi penjajahan ke atas negara Timur Tengah.

Pada 22 September 2023 ketika Persidangan Agung PBB, Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu telah menunjukkan kepada pemimpin-pemimpin dunia yang hadir pada persidangan tersebut peta pelan baharu Timur Tengah yang merangkumi sebahagain besar Timur Tengah. Walaupun begitu, beliau tidak menamakan peta tersebut sebagai “The Greater Israel” untuk mengelak daripada menerima kecaman pemimpin negara Dunia Islam. Kali ini tanpa rasa takut Benjamin Netanyahu dengan terang memperlihatkan kepada dunia cita-citanya untuk mengimplimentasikan “The Greater Israel” dengan bantuan dan sokongan Barat.

Syria antara negara utama yang termasuk dalam pelan pemetaan baharu Timur Tengah tersebut. Syria juga adalah negara utama yang menjadi penentang kepada negara haram Israel. Oleh itu pelbagai cubaan telah dilakukan oleh Zionis Israel untuk menunduk serta menghapuskan terus penentangan Syria ke atas negara haram Israel sama ada melalui “regime change” dan pemberontakan namun sehingga kini tidak berhasil.

Di Syria ketika ini, kumpulan militan Hayat Tahrir al-Syam dan ISIS yang disokong sepenuhnya oleh Barat sedang melakukan serangan besar-besaran ke atas Aleppo dan bandar-bandar di utara Syria. Ia mula berlaku sehari selepas termenterainya gencatan senjata antara Lubnan dan negara haram Israel.

Mengapa dengan tiba-tiba berlakunya serangan kumpulan militan tersebut ke atas Syria? Ia bertujuan untuk mencetuskan ketidakstabilan dari dalam Syria seterusnya menumbangkan kerajaan Basyar Al-Asad. Tidak dinafikan kezaliman rejim Basyar Al-Asad ke atas rakyatnya namun isu ini perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas. Negara haram Israel yang paling besar mendapat faedah daripada ketidakstabilan ini.

Untuk jangka masa pendek ia dapat menjaga keselamatan negara haram Israel dari ancaman seteru utamanya iaitu Iran yang menjadikan Syria sebagai pengkalan utama bagi mendokong kumpulan pejuang pembebasan Palestin. Jika perancangan mereka berjaya maka langkah seterusnya ialah meletakkan kerajaan boneka yang pro Barat. Jika perancangan ini tidak berjaya maka tidak mustahil Syria akan dibahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian diperintah oleh Basyar Al-Asad manakala satu bahagian lagi akan didokong oleh Barat sebagaimana apa yang berlaku di Yaman. Kedua-dua perancangan ini sikit sebanyak akan berjaya melemahkan pengaruh “Jabhatul muqawamah” iaitu gabungan kumpulan pejuang pembebasan Palestin yang terdiri daripada Iran, Syria, Lubnan, Yaman serta kumpulan-kumpulan proksi HAMAS, Hizbullah, al-Hasyd al-Sya’bi Iraq dan Ansarulullah Yaman.

Turkiye juga antara negara yang termasuk dalam pelan “The Greater Israel” di mana sebahagian wilayah Turkiye yang bersempadan dengan Syria berada dalam peta baharu Timur Tengah yang ditayangkan Benjamin Netanyahu pada Persidangan Agung PBB tahun lalu. Menyedari ancaman negara haram Israel, Presiden Turkiye Recep Tayyip Edrogan pada Oktober baru-baru ini mendakwa negara haram Israel bercita-cita untuk menjajah Turkiye khususnya Anatolia.

Edrogan memberi amaran kepada negara haram Israel bahawa keadaan tegang tersebut mampu membawa peperangan antara kedua-dua negara. Beberapa hari selepas itu, Presiden negara haram Israel, Isaac Herzog menafikan kenyataan Edrogan dengan menyatakan bahawa negara haram Israel tidak mempunyai niat untuk mengambil tindakan ketenteraan mahupun menjajah wilayah Turkiye.

Walaupun ketika ini kurang jelas bagaimana negara haram Israel akan mengimplemantasikan “The Greater Israel” ke atas Turkiye, hakikatnya “gerakan bawah tanah” yang mendokongnya telah lama dijalankan. Acapkali kedengaran puluhan anggota perisikan negara haram Israel ditahan pihak berkuasa Turkiye. Regim Zionis Israel juga dikatakan antara dalang utama dalam cubaan rampasan kuasa pada tahun 2016 untuk menjatuhkan Edrogan.

Jika negara haram Israel berjaya mengimplimentasikan “The Greater Israel” ke atas Turkiye, maka mereka akan mendapat akses terus kepada Laut Hitam yang tentunya memberi banyak manfaat dan juga secara tidak langsung akan memberikan akses kepada Laut Kaspia. Dengan Turkiye yang menpunyai kedudukan yang amat strategik antara Asia dan Eropah, ia akan memberi kelebihan khususnya dari sudut ekonomi mahupun geopolitik kepada negara haram Israel.

Pemetaan baharu Timur Tengah yang sedang dilakukan regim Zionis Israel ketika ini dijangka akan bertambah rancak lagi apabila Donald Trump mula memasuki Rumah Putih pada Januari tahun hadapan. Dengan majoriti barisan kabinetnya yang diumumkan baru-baru ini adalah pro Zionis dan menyokong segala tindakan regim Zionis Israel, besar kemungkinan peperangan Timur Tengah akan terus merebak dengan lebih luas. 

Sama-sama kita doakan agar impian Benjamin Netanyahu dan Barat tidak menjadi kenyataan serta diberikan kemenangan kepada Lubnan, Syria dan khususnya warga Palestin dalam usaha untuk membebaskan tanah air mereka dari dijajah regim Zionis Israel. Insya-Allah dengan doa yang berterusan dari kita semua, bumi Palestin bakal merdeka tidak lama lagi dan negara haram Israel bakal menjadi bahan sejarah yang amat usang dan lapuk. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -