
KOTA BHARU: Musim banjir membawa risiko besar, bukan sahaja kepada harta benda tetapi juga kesihatan awam.
Salah satu ancaman kesihatan yang sering tidak disedari ialah melioidosis, sejenis penyakit serius disebabkan oleh bakteria dalam tanah dan air tercemar.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Hilmi Abdullah berkata, bakteria ini boleh memasuki tubuh melalui luka kecil, penyedutan udara tercemar, atau kontak langsung dengan air banjir.
“Golongan yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, penyakit buah pinggang, atau kanser adalah lebih berisiko dijangkiti penyakit ini,” katanya.
Antara gejala utama melioidosis perlu diberi perhatian termasuk demam berpanjangan, sakit otot atau sendi luka bernanah yang sukar sembuh, batuk dan sesak nafas dan badan lemah dan lesu.
Katanya, maklumat itu diperolehi dari sumber Public Health Malaysia dan Hilmi turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi diri daripada jangkitan.
“Elakkan bermain air banjir, pastikan luka ditutup dengan sempurna, basuh badan menggunakan sabun selepas terdedah, dan pastikan hanya minum air yang bersih,” tambah beliau.
Beliau turut menyeru mereka yang mengalami gejala seperti di atas selepas terdedah kepada banjir agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan. – HARAKAHDAILY 10/12/2024











