
KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun), menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas dalam menangani isu buli, termasuk buli siber.
Beliau berkata pindaan berkenaan penting bagi memperkasakan undang-undang sedia ada untuk menangani gejala buli yang kini menjadi barah dalam masyarakat, sama ada dalam bentuk fizikal mahupun siber.
“Kes buli fizikal melibatkan pelajar dan mahasiswa masih terus berlaku tanpa penyelesaian tuntas.
“Terkini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lumpur menerima 12 laporan berkaitan kes buli pelajar sekolah.
“Dalam kes lain, pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) turut didakwa kerana mencederakan juniornya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut memuji langkah Kementerian Pertahanan membatalkan pelantikan pegawai kadet terbabit dan menamatkan perkhidmatannya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Cabaran buli siber
Mengulas isu buli siber, Abd Ghani mendedahkan laporan CyberSecurity Malaysia yang mendapati 27 peratus remaja Malaysia menjadi mangsa buli siber melalui platform media sosial seperti Facebook dan Instagram pada 2023.
“Lebih mengejutkan, purata 27 kes buli siber dilaporkan setiap hari pada 2024. Buli siber lebih menakutkan kerana ia tidak mempunyai batasan fizikal, boleh berlaku bila-bila masa, dan dilakukan tanpa identiti pelaku diketahui,” jelasnya.
Beliau turut meminta kerajaan memperincikan takrifan buli siber dalam undang-undang bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan.
Hukuman setimpal dengan trauma mangsa
Abd Ghani menekankan pentingnya hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesan trauma berpanjangan yang dialami mangsa.
“Persoalannya, apakah penanda aras yang digunakan untuk menentukan kadar hukuman denda terhadap pembuli siber?
“Ini penting agar kejadian seperti kematian pengguna TikTok, Rajeswary atau Esha, yang menjadi mangsa buli siber pada 5 Julai 2024 lalu, dijadikan sebagai iktibar,” katanya.
Beliau berharap pindaan itu dapat mengisi kelompongan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta memastikan gejala buli siber dapat dibanteras secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 10/12/2024











