Buli siber beri impak besar kepada psikologi mangsa

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengambil pendekatan progresif dalam menangani buli siber, yang disifatkan lebih menakutkan berbanding buli konvensional kerana tidak mempunyai batasan fizikal dan boleh berlaku tanpa henti, termasuk menyusup ke ruang peribadi mangsa. 

- Advertisement -

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, gejala buli siber yang semakin serius memberi impak besar kepada trauma emosi dan psikologi mangsa, terutama remaja.

Justeru, kata beliau, memasukkan peruntukan khusus bagi jenayah ini dalam pindaan undang-undang adalah langkah yang wajar dan amat diperlukan. 

“Saya lihat juga ia merupakan satu hukuman yang dinyatakan dapat bertindak sebagai langkah untuk pencegahan terhadap setiap pembuli-pembuli terutamanya dalam dunia digital sekarang ni yang semakin berkembang.

“Rakan saya tadi juga menyebut untuk menutup kelompongan dalam undang-undang iaitu kanun keseksaan sedia ada tidak ada peruntukan yang khusus untuk buli.

“Jadi menyebabkan sukarlah untuk menguatkuasa tindakan undang-undang terhadap kes-kes seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Merujuk kepada hasil kajian Keselamatan Siber Malaysia, beliau mendedahkan bahawa sebanyak 27 peratus remaja di negara ini pernah menjadi mangsa buli siber melalui platform seperti Facebook dan Instagram.

“Purata kes yang dilaporkan dianggarkan sekitar 27 kes setiap hari. Adakah kerajaan bercadang supaya tarifan buli siber ni lebih diperincikan lagi dengan lebih jelas dan dalam ruang lingkup siber masa kini, banyaklah yang kita kena kena atasi cabar-cabaran bagi memastikan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap gejala buli siber ini.

“Lebih parah lagi gejala buli ini dalam alam siber boleh dilakukan tanpa diketahui oleh sesiapa. Jadi kita tak tahu siapa pelakunya, dengan tempoh penyebarannya kepada khalayak ramai dalam tempoh singkat,” katanya.

Zulkifly turut menekankan keperluan langkah interim untuk melindungi mangsa daripada kemungkinan pelaku mengulangi jenayah tersebut, terutama semasa tempoh jaminan. 

“Adakah kerajaan bercadang melaksanakan perintah khas seperti ‘gag order’ atau larangan tertentu, seperti dalam kes rogol kanak-kanak, bagi memastikan pelaku tidak mengganggu mangsa atau saksi,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -