Kembali kepada pendidikan yang membina perpaduan masyarakat

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail mencadangkan agar Malaysia beralih sepenuhnya kepada sistem pendidikan kebangsaan, dengan menghentikan penggunaan sistem pendidikan vernakular yang masih diamalkan. 

- Advertisement -

Beliau menyatakan, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang masih mengamalkan sistem vernakular, sementara negara jiran seperti Singapura telah menghentikan amalan tersebut.

 “Setelah 60 hingga 70 tahun, adakah tidak mungkin kita kembali kepada satu sistem pendidikan yang menyatukan cara berfikir dan membina perpaduan masyarakat?” soalnya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Hussin turut meminta agar Kementerian Pendidikan mempertimbangkan tempoh tertentu untuk memberi ruang bagi peralihan itu, yang menurutnya penting untuk memastikan kesatuan dan perpaduan bangsa. 

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dalam jawapannya memberitahu, kerajaan menegaskan bahawa sekolah jenis kebangsaan telah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara sejak merdeka, memberi peluang kepada ibu bapa memilih pendidikan dalam bahasa ibunda di peringkat rendah.

Menurutnya, usaha memupuk perpaduan melalui kurikulum dan program pendidikan diteruskan di semua aliran sekolah, termasuk sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.

Hussin dalam soalan asal meminta Menteri Pendidikan menyatakan adakah sekolah-sekolah vernakular di negara ini mengikuti sepenuhnya Dasar Pendidikan Kebangsaan dan ketatanegaraan dalam sukatan kurikulum dan kokurikulum mereka. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

- Advertisement -