Kedatangan Trump: Jaga sensitiviti umat Islam

- Advertisement -

- Advertisement -

​SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan hari ini menzahirkan pendirian tegas membantah kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia, dengan alasan ia akan mencalar imej negara di mata dunia Islam dan menyinggung perasaan rakyat.

​Pesuruhjayanya, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, bantahan itu dibuat berdasarkan rekod pentadbiran Trump yang terkenal dengan dasar zalim dan anti-Islam, termasuk larangan perjalanan (Muslim Ban) yang menindas umat Islam.

​Menurutnya, sokongan tidak berbelah bahagi pemimpin itu kepada rejim Israel juga tidak boleh diterima, terutamanya tindakannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang jelas mencabuli hak rakyat Palestin.

​“Kehadirannya tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat Malaysia, sebaliknya hanya membuka ruang kepada agenda asing yang boleh menggugat kestabilan politik dan keharmonian masyarakat negara ini,” katanya.

​Tambah beliau, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat tidak wajar menjadi medan untuk tokoh luar yang mempunyai rekod buruk terhadap umat Islam bagi menonjolkan imej politiknya.

​Dalam pada itu, Mohd Fairuz berkata, kedatangan Trump pada waktu ini amat tidak sensitif terhadap perjuangan peserta Global Sumud Flotilla dari Malaysia yang berjuang menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.

​“PAS Negeri Sembilan menegaskan bahawa kedatangan Trump hanya akan mencalar imej Malaysia di mata dunia Islam serta menyinggung sensitiviti rakyat yang konsisten menyokong perjuangan Palestin,” tegasnya lagi. -HARAKAHDAILY 7/10/2025

- Advertisement -