Jangan cemar maruah oleh tangan berdarah Zionis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyatakan bantahan tegas terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) hujung Oktober ini di Kuala Lumpur. 

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, kehadiran beliau walaupun atas kapasiti jemputan antarabangsa amat tidak wajar kerana mencemarkan nilai kemanusiaan serta prinsip keadilan yang menjadi teras kepada ASEAN dan Malaysia.

Bekas Ahli Dewan Negara itu menegaskan, Trump merupakan simbol kezaliman dan pengkhianatan terhadap Palestin serta watak utama yang menyalakan api kezaliman terhadap rakyat negara itu.

Menurutnya, tindakan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel adalah biadab kerana menolak undang-undang antarabangsa selain memperkenalkan ‘Deal of the Century’ yang menafikan hak mutlak rakyat Palestin terhadap tanah air mereka.

Terangnya, selama ini Trump menjadi penyokong utama rejim Zionis dengan memberi bantuan kewangan dan ketenteraan tanpa batas. 

“Secara tidak langsung kehadiran beliau dalam Sidang Kemuncak  ASEAN seolah-olah memberi ruang pengiktirafan kepada seorang tokoh yang bertanggungjawab atas penderitaan umat Islam di Palestin,” ujarnya dalam kenyataan.

Ustazah Nuridah menegaskan, ASEAN tidak wajar menjadi pentas pemutihan imej Trump kerana sidang itu seharusnya memperkukuh keamanan dan keadilan serantau, bukan membersihkan imej pemimpin dunia yang menyokong kezaliman. 

Beliau berkata, kehadiran Trump boleh menimbulkan kegusaran rakyat Malaysia dan masyarakat Islam serantau ketika Gaza terus diselubungi penderitaan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

“Malaysia sebagai tuan rumah perlu berani menyatakan pendirian tegas bahawa negara ini tidak meraikan mana-mana tokoh yang terpalit dengan jenayah kemanusiaan dan penghinaan terhadap Islam,” tegasnya.

Beliau berkata, Malaysia mesti kekal konsisten membela Palestin kerana selama ini dikenali sebagai negara yang mempertahankan isu itu di pentas antarabangsa

“Sebarang kehadiran Trump yang dikaitkan dengan dasar pro-Zionis akan mencemarkan imej Malaysia sebagai suara keadilan dunia Islam,” tegasnya sambil menyeru kerajaan membantah secara rasmi dan tidak memberi ruang khas kepada Trump dalam mana-mana acara rasmi persidangan ASEAN.

Nuridah menegaskan, Dewan Muslimat PAS bersama seluruh wanita Islam akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang usaha memperlekeh perjuangan umat Islam.

Menurutnya, Allah tidak mencintai orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 205.

“Dewan Muslimat PAS Malaysia membantah sekeras-kerasnya kehadiran Donald Trump ke Malaysia sempena Persidangan ASEAN kerana kehadiran beliau bukan sahaja tidak membawa nilai, malah mencalar maruah ASEAN serta mencemarkan pendirian Malaysia sebagai negara yang cintakan keamanan dan keadilan sejagat,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -