Arak majlis kerajaan: Langkah songsang undur ke belakang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan tindakan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan sebagai langkah songsang yang mengundur ke belakang dan mencemarkan maruah negara.

- Advertisement -

Beliau berkata, selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, banyak adat serta protokol rasmi kerajaan masih terikat dengan warisan penjajah British termasuk menjadikan arak sebagai hidangan rasmi dalam majlis tertinggi negara.

Namun katanya, sejarah menunjukkan perubahan besar berlaku pada tahun 1974 apabila PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional dan menolak keras penghidangan arak dalam Majlis Jamuan Negara.

“Ketika itu pimpinan PAS bermesyuarat dan mengutus Dato’ Asri Muda bertemu secara peribadi dengan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak untuk menyatakan keberatan menghadiri majlis sekiranya arak dihidangkan.

“Akhirnya Tun Razak membuat keputusan berani untuk tidak menghidangkan arak pada malam tersebut, menjadikan ia jamuan negara pertama tanpa arak dalam sejarah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Firdaus, peristiwa itu membuktikan bahawa nilai Islam mampu membentuk dasar negara bukan dengan paksaan, tetapi dengan kebijaksanaan dan prinsip teguh.

Namun katanya, apabila ada pemimpin DAP pada masa kini mendakwa hidangan arak dalam majlis antarabangsa sebagai etika global, ia umpama menyimbah lumpur ke wajah sejarah sendiri.

“Arak bukan simbol kemajuan, tetapi lambang kelalaian dan kerosakan akhlak. Jika dulu Malaysia pernah menunjukkan maruah dengan tidak tunduk pada budaya mabuk Barat, kenapa kini perlu berpatah balik di bawah alasan globalisasi?” soalnya.

Firdaus menegaskan bahawa Malaysia yang pernah bangkit dengan prinsip dan maruah pada tahun 1974 tidak seharusnya kembali kepada amalan lama yang bertentangan dengan nilai Islam dan adab ketimuran.

“Arak bukan etika global. Ia hanyalah etika manusia yang kehilangan arah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2025

- Advertisement -