
POKOK SENA: Gerak kerja pasca banjir oleh sukarelawan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Negeri Kedah berjalan lancar apabila sebanyak 60 rumah mangsa di sekitar daerah ini berjaya dibersihkan setakat kelmarin.
Penyelaras Khidmat Malaysia (KM) Kulim, Mohamad Jamaludin Mad Saad berkata, operasi pembersihan itu giat dijalankan sejak 4 Oktober lalu, tertumpu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada dan Bukit Pinang.
”Alhamdulillah, setakat 8 Oktober, sukarelawan Khidmat Malaysia Negeri Kedah membantu mencuci 60 buah rumah mangsa banjir yang terjejas,” katanya.
Banjir gelombang pertama yang melanda Kedah pada Jumaat minggu lalu ekoran hujan lebat berterusan telah menjejaskan beberapa daerah termasuk Sik, Padang Terap, Kubang Pasu dan Pokok Sena.
Bencana itu turut meragut satu nyawa melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di Jabi.
Mohamad Jamaludin berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama padu sukarelawan termasuk dari Kubang Pasu, Merbok, Sik, Baling, Kuala Kedah, Bandar Bharu, Jerai, Padang Terap dan Padang Serai, serta turut dibantu oleh anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Kedah.
Bagi memastikan kebajikan mangsa dan sukarelawan terjaga, Dapur Rakyat Khidmat Malaysia Negeri Kedah turut diaktifkan bermula 5 Oktober lalu hingga 10 Oktober ini bagi menyediakan bekalan makanan.
Inisiatif bantuan itu turut mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) lain dengan sumbangan awal sebanyak RM2,500 telah diterima daripada Muslim Care Malaysia.
Sehubungan itu ujarnya, Khidmat Malaysia masih membuka sumbangan orang ramai bagi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terjejas. – HARAKAHDAILY 10/10/2025






















