
KUALA TERENGGANU: Ribuan rakyat Terengganu membanjiri pekarangan ketibaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, bagi menyambut kepulangan dua anak jati negeri yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Seawal jam 2 petang, orang ramai mula memenuhi kawasan lapangan terbang sambil membawa sepanduk, bendera Palestin serta mengenakan kufiyeh sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Laungan ‘Free, Free Palestin!’ bergema tanpa henti ketika menunggu ketibaan dua sukarelawan, Muhamad Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik, 32, dan Mohd Asmawi Mukhtar, 52, yang baru pulang daripada misi berisiko tinggi itu.
Exco Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri menzahirkan rasa bangga dan terharu atas keberanian dua anak muda Terengganu itu yang sanggup berdepan ancaman rejim Zionis demi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Katanya, hanya dua peserta dari Terengganu pulang melalui penerbangan kelmarin manakala sebahagian lagi rombongan memilih untuk pulang melalui jalan darat.
“Kita nak sambut semua peserta misi, tetapi hari ini hanya dua orang yang pulang melalui penerbangan. Sebahagian lagi masih dalam perjalanan pulang melalui darat dan ada yang masih berada di Kuala Lumpur,” katanya.
Hishamuddin berkata, kedua-dua mereka merupakan wakil rasmi yang membawa semangat seluruh rakyat Terengganu dalam usaha membantu penduduk Gaza di mana kini hidup dalam sekatan ketat rejim Zionis.
“Penduduk Gaza macam Terengganu juga duduk tepi pantai mereka tak boleh nak pergi ke laut sebab rejim Zionis sekat.
“Kita hanya nak hantar makanan bukan hantar peluru, bom tetapi Zionis tetap menyekat kemaraan GSF untuk masuk dalam bumi Gaza bagi memberikan makanan ubat-ubatan, lampin, susu pada anak-anak Gaza,” katanya.
Menurut beliau, perjuangan yang dilakukan oleh sukarelawan GSF termasuk anak muda Terengganu amat membanggakan kerana sanggup menggalas tanggungjawab besar dengan risiko ditahan atau dibunuh.
“Perjuangan yang dilakukan oleh rakan-rakan kita dari Terengganu bersama rombongan antarabangsa amat menyentuh hati. Kerajaan negeri berasa sangat bertuah mempunyai anak-anak Terengganu yang sanggup menaiki kapal dan berdepan risiko ditangkap, malah mungkin terbunuh.
“Namun, mereka tetap reda dan bersedia kerana andai gugur, itu mati syahid. Mereka berangkat dengan semangat akidah nak tolong saudara seagama di bumi Palestin,” katanya.
Beliau berkata, keberanian dua anak muda itu menjadi inspirasi kepada rakyat Terengganu, khususnya golongan belia, untuk terus menyokong perjuangan kemanusiaan demi Palestin.
“Ustaz Mad kecil tubuhnya, tapi jiwanya sangat besar. Keberanian mereka membuatkan rejim Zionis pun menggigil ketakutan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2025












