
KUALA TERENGGANU: “Sebenarnya tiada kata-kata yang dapat diucapkan untuk menggambarkan perasaan sepanjang perjalanan yang penuh cabaran dari sudut mental dan fizikal, hampir-hampir putuh asa,” demikian luahan Mohd Asmawi Mukhtar.
Menurutnya yang lebih mesra disapa Awi, salah seorang daripada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), setiap langkah yang diatur sepanjang misi itu disertai doa dan harapan jutaan rakyat Malaysia di mana sentiasa mendoakan keselamatan pasukan.
“Berkat daripada doa-doa kalian semua saya ini umpama anak panah, manakala kalian semua ibarat busur dan tali yang menghantar hasrat serta hajat seluruh warga Terengganu, Malaysia untuk membantu merobohkan sekatan di bumi Palestin.
“Insya-Allah, kemenangan Islam semakin hampir. Seperti yang disebut oleh Syeikh Ahmad Yassin, menjelang 2027 Israel akan lenyap. Ia bermula daripada sekarang,” katanya.
Awi berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan sambutan untuk beliau di perkarangan ketibaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini semalam.
Beliau berkata, semangat yang dibawa pulang daripada bumi Palestin tidak akan terhenti di situ sahaja dan misi tersebut akan diteruskan sehinggalah Palestin dibebaskan daripada kezaliman dan genosid dilakukan rejim Zionis.
“Kita perlu sama-sama meneruskan. Bukan saya, bukan Ustaz Mad, bukan kami sahaja, tapi kita yang sepatutnya perjuangkan. Kami ini hanya melontarkan dan kita pakat sambut semua itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2025












