‘Jangan henti cerita tentang Gaza’ – Ustaz Mad Kecik

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Jangan berhenti bercerita tentang Gaza, kalau kita hentikan cerita tentang Gaza, bermakna kita memberi kemenangan kepada musuh,” tegas sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), Muhamad Abdullah.

- Advertisement -

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik menyeru umat Islam supaya terus memperjuangkan isu kemanusiaan di bumi Gaza serta tidak membiarkan semangat itu padam begitu sahaja.

Beliau yang baru pulang daripada misi kemanusiaan ke Gaza berkata, perjuangan dibawa bukan untuk mencari nama, tetapi sebagai kesinambungan usaha generasi terdahulu dalam mempertahankan maruah umat Islam.

“Kami bukan wira. Kami hanya meneruskan jalan orang yang terdahulu. Kami lakar perjuangan ini dan harap ia sampai kepada hati kalian supaya terus bangkit mencintai saudara kita di Gaza,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada satu perhimpunan sambutan untuk beliau di perkarangan ketibaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini semalam.

Turut hadir pimpinan-pimpinan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Dato’ Ariffin Deraman, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, Dr Riduan Mohamad Nor, Mohd Zawawi Ismail dan Ketua Pemuda Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Harun.

Menurut Ustaz Mad Kecik, pengalaman ditahan dan diikat oleh tentera Israel adalah bukti kekejaman rejim itu yang tidak berperikemanusiaan.

“Orang (Israel) yang kami hadapi bukan sebarang manusia, tetapi manusia paling kejam atas muka bumi. Kami cuma merasai sedikit apa yang rakyat Palestin hadapi setiap hari,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam supaya terus menggunakan apa sahaja kemampuan yang ada bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin sama ada melalui sumbangan kewangan, tenaga mahupun media sosial.

“Kalau ada duit, sumbangkan. Kalau ada tenaga, hulurkan. Kalau ada media sosial, gunakan dengan betul. Media sosial adalah senjata mereka untuk musnahkan kita, dan kita boleh ‘tembak balik’ dengan menyebarkan kebangkitan umat,” katanya.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Ustaz Mad Kecik turut menyatakan harapan agar sembilan lagi aktivis yang masih ditahan rejim Zionis Israel akan segera dibebaskan.

“Kita harap Allah SWT selamatkan mereka sebagaimana kami diselamatkan. Jangan berhenti berdoa, kerana doa adalah senjata terakhir kita,” katanya.

Mengulas kemungkinan untuk kembali ke Gaza, beliau tidak menolak hasrat itu sekiranya keadaan mengizinkan.

“Insya-Allah, kalau diberi kekuatan, kami akan teruskan usaha untuk masuk ke bumi Rafah. Sekarang sudah ada perjanjian damai dan peluang cerah untuk masuk melalui darat. Doakan agar Allah permudahkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2025

- Advertisement -