
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, Balasubramaniam Nachiappan mempersoalkan mengapa nasib masyarakat kaum India rakyat Malaysia terus dipinggirkan.
Ia menurutnya susulan tindakan seorang Menteri yang secara terbuka mengakui menggunakan kuasanya untuk membantu beberapa pemain bola sepak yang kini dikaitkan dengan isu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Jelasnya, tindakan itu telah mencetuskan persoalan besar mengenai penyalahgunaan kuasa dan keutamaan kerajaan dalam urusan kewarganegaraan.
“Jika kuasa boleh digunakan untuk mempercepatkan proses kewarganegaraan bagi segelintir individu atas alasan sukan atau hubungan tertentu, mengapa ribuan masyarakat India Malaysia yang telah lahir, membesar, dan hidup berpuluh tahun di bumi ini masih dinafikan hak mereka sebagai warganegara?
“Apakah mereka tidak cukup berjasa kepada negara kerana tidak bermain bola sepak? Adakah sumbangan mereka dalam ekonomi, pendidikan, dan tenaga kerja tidak sepatutnya dipandang bernilai?” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hakikatnya ramai dalam kalangan masyarakat kaum India di Malaysia masih hidup tanpa status kewarganegaraan walaupun mereka telah berbakti kepada negara ini sejak generasi terdahulu.
“Mereka membayar cukai, bekerja keras, dan mematuhi undang-undang namun masih dianggap ‘asing’ di tanah air sendiri.
“Ironinya, dalam masa yang sama, seorang Menteri boleh menggunakan kuasa untuk memudahkan proses kepada individu tertentu sedangkan rakyat yang setia kepada Malaysia terus menunggu tanpa kepastian,” tempelaknya.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Negara menegaskan, itu bukan soal politik semata-mata, tetapi soal keadilan dan maruah rakyat.
“Jika Malaysia Madani benar-benar berlandaskan kasih sayang, kemanusiaan dan keadilan, mengapa nilai-nilai itu tidak terzahir dalam tindakan kerajaan terhadap masyarakat India Malaysia yang masih menanti hak mereka?
“Tindakan memilih kasih dan menggunakan kuasa demi populariti atau kepentingan tertentu hanya menambah luka di hati rakyat. Kerajaan harus sedar kuasa bukan untuk menunjuk, tetapi untuk membela,” desaknya.
Beliau berkata, pihaknya menegaskan bahawa isu kewarganegaraan itu perlu diselesaikan segera dan secara menyeluruh.
“Jangan biarkan generasi baru masyarakat India Malaysia terus membesar tanpa hak, tanpa peluang, dan tanpa masa depan yang setimpal dengan pengorbanan keluarga mereka terhadap negara ini.
“Kerajaan Madani perlu membuktikan bahawa ia benar-benar adil kepada semua rakyat, bukan hanya kepada mereka yang memberi keuntungan politik atau imej sementara.
“Cukuplah berpolitik atas nama belas ihsan sementara rakyat yang setia terus dinafikan haknya. Sudah tiba masanya keadilan ditegakkan untuk semua rakyat Malaysia.
“Termasuk mereka yang selama ini dianggap ‘tidak penting’ dalam mata kuasa. Keadilan untuk masyarakat India Malaysia adalah ujian sebenar kepada Malaysia Madani,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan tujuh pemain FAM untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui jalur naturalisasi mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, semua pemain memenuhi syarat pemastautinan, kelakuan baik dan kefahaman bahasa Melayu, namun proses masih tertakluk kepada Kaedah-kaedah Warganegara 1964.
Tindakan itu susulan siasatan FIFA yang mendapati wujud penggunaan dokumen palsu dalam pendaftaran pemain warisan, menyebabkan FAM didenda RM1.8 juta dan tujuh pemain digantung selama 12 bulan. – HARAKAHDAILY 10/10/2025











