Rakyat Johor memilih ‘upaya dan wibawa’ – Syahir

Anwar dan DAP jadi 'biggest loser' PRN ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan kemenangan mutlak Barisan Nasional (BN) memberi kelebihan atau leverage baharu kepada Umno dan BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

- Advertisement -

Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, kemenangan besar gabungan itu dicapai hasil daripada faktor ‘poster boy’ Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi serta peralihan ketara undi atas pagar termasuk sebahagian pengundi Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS.

Ahli Parlimen Bachok itu bagaimanapun mengingatkan Umno agar tidak tersilap langkah dengan menganggap ‘jenama’ BN sudah kembali diterima sepenuhnya oleh rakyat secara menyeluruh.

“Peralihan undi kepada BN di Johor lebih bersifat sementara kerana rakyat mahu menolak DAP dan Pakatan Harapan (PH), sedangkan PN tidak berjaya memposisikan diri sebagai alternatif, di samping wujud seruan dan dorongan untuk mengundi BN.

“Di Johor, BN mempunyai calon MB yang ‘humble’ (rendah diri), bersih dan popular. Persoalannya, adakah BN mampu menawarkan pakej yang sama di peringkat Persekutuan?” katanya dalam satu analisis politik dikongsikan, hari ini.

Mengulas mengenai keputusan rasmi iaitu BN 48 kerusi, manakala PH sekadar meraih lapan kerusi dan PN gagal menang sebarang kerusi, Syahir menjelaskan psiko-politik pengundi dalam PRN cenderung memilih gabungan mempunyai wibawa untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, tanpa calon Menteri Besar dan tawaran manifesto yang meyakinkan, PN tidak dilihat sebagai alternatif utama di Johor, selain terpaksa berdepan penguasaan media serta jentera kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Namun objektif PAS tercapai iaitu mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam dalam masyarakat majmuk dan mengekang kemaraan PH di Johor dan seterusnya di Parlimen,” jelas beliau.

PH, DAP terima tamparan hebat

Mohd Syahir turut menyifatkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan DAP sebagai pihak yang menerima tamparan paling hebat atau ‘biggest loser’ dalam pilihan raya kali ini akibat pendekatan kempen memakan diri sendiri.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu menyifatkan, Perdana Menteri kini berdepan defisit kepercayaan yang semakin melebar dalam kalangan pengundi pelbagai kaum, termasuk dalam kalangan generasi muda dan netizen.

“Ternyata ucapan ‘masuk bakul, angkat sendiri’, di samping pendekatan ‘menabur janji, meninggi diri’, telah memakan diri Dato’ Seri Anwar dan DAP; mengulangi mimpi ngeri di Sabah,” katanya.

Melibatkan pertandingan 56 DUN, PRN Johor setelah pembubaran diumumkan 1 Jun lalu yakni 10 bulan lebih awal dari tarikh genap sepenggal 5 tahun dilihat usaha BN meraih mandat mutlak di tengah kecamuk politik negara.

Kemenangan besar 48 kerusi oleh BN di Johor ini secara tidak langsung mengubah dinamika politik tanah air, ketika parti-parti politik mula mengatur strategi bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan serta persiapan awal menuju PRU16.

Menyentuh mengenai hala tuju politik pasca-PRN Johor, Syahir yang  menjangkakan persaingan sengit bakal beralih ke beberapa negeri bermajoriti rapuh seperti Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Perak.

Malah, beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS tidak menolak kemungkinan PRN Negeri Sembilan akan datang bakal menyaksikan peralihan sokongan yang dinamik.

“Maka tidak mustahil, PRN Negeri Sembilan bakal menyaksikan peralihan sokongan bagi menobatkan MB baharu daripada BN, mungkin melalui ‘formula’ peralihan undi atau penyatuan ummah.

“Potensi PAS dan PN boleh dipertingkatkan di Selangor, Melaka, Perak dan Pahang melalui elemen ‘lonjakan’, dengan mengemukakan pakej ‘upaya dan wibawa’.

“Iaitu calon MB yang kompeten serta manifesto yang meyakinkan,” katanya lagi sambil menambah strategi tersebut mampu memposisikan PH sebagai pembangkang pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 12/7/2026

- Advertisement -