
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan menegaskan kesatuan dan perpaduan merupakan asas utama dalam membina kekuatan perjuangan Islam serta menjadi kunci kepada kemenangan yang diredai Allah SWT.
Katanya, bersatu dan berpadu adalah tuntutan Islam, hatta peribahasa Melayu juga mengungkapkan, ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.
“Dalam konteks demokrasi, semakin ramai yang bersama perjuangan, semakin kuat kekuatan yang dapat dibina,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Sepanggar Kali Ke-16 di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Karambunai, di sini, hari ini. (Foto atas)
Tambahnya, setiap ahli PAS perlu memelihara kesatuan kerana kekuatan perjuangan lahir daripada ukhuwah yang kukuh.
“Pun begitu, kemenangan yang kita cari bukan semata-mata kemenangan pilihan raya, tetapi pastilah keutamaan yang lebih besar adalah meraih kemenangan di sisi Allah SWT,” ujarnya.
Di samping itu, katanya Allah SWT menerusi Surah Ali ‘Imran ayat 104 menjelaskan tiga ciri golongan yang memperoleh kemenangan, iaitu mereka yang sentiasa berdakwah dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan, menyeru manusia kepada perkara makruf serta mencegah kemungkaran.
“Saya sangat yakin kita memiliki kesemua ciri-ciri yang disebutkan tadi.
“Melalui gerak kerja yang dilaksanakan di semua peringkat organisasi, sama ada kawasan, dewan-dewan mahupun pertubuhan bukan kerajaan yang sentiasa menggerakkan aktiviti dakwah, kebajikan dan khidmat masyarakat,” jelasnya yang juga ADUN Karambunai.
Beliau berkata usaha berkenaan tidak hanya tertumpu kepada penyampaian bantuan bakul makanan, malah meliputi program khatan beramai-ramai, baik pulih rumah, penyediaan pelbagai kemudahan untuk rakyat serta pelbagai lagi program yang digerakkan oleh biro-biro kawasan dan dewan-dewan.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas yang terus berfikir, merancang dan melaksanakan pelbagai program demi memperkukuh perjuangan Islam serta membawa manfaat kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 12/7/2026











