
SEREMBAN: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyeru rakyat Negeri Sembilan menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 ini sebagai medan menghantar isyarat jelas kepada Kerajaan Persekutuan.
Iaitu serunya, dengan cara mengundi PN dan BN sekali gus membuktikan kerjasama politik antara PAS dan Umno diterima oleh rakyat yang diterjemahkan melalui pemindahan undi pada hari pengundian.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Pimpinan D’Ampangan di UDM Shahbandar, Ampangan, di sini kelmarin.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan calon PN DUN N.14 Ampangan, Dato’ Dr Mohamad Rafie Ab Malik serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Menurutnya, PRN Negeri Sembilan perlu menjadi referendum rakyat terhadap kerajaan selain menghantar mesej jelas kepada kepimpinan negara.
“Negeri Sembilan mesti menjadi guru politik kepada Malaysia. Kita mahu menunjukkan bahawa kerjasama ini berjaya dan seterusnya menjadi pencetus perubahan lebih besar di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.
Ustaz Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, kejayaan kerjasama PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) bergantung kepada kejayaan pemindahan undi antara penyokong setiap parti.
Beliau berharap penyokong PAS dapat mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi PN, manakala penyokong Umno pula memberikan sokongan kepada calon PN.
Katanya, kejayaan pemindahan undi itu akan menjadi faktor yang digeruni lawan serta membuka ruang kepada kerjasama politik yang lebih besar pada masa hadapan.
Menurut Idris, Islam meletakkan kepimpinan sebagai amanah yang amat penting kerana pemimpin menentukan hala tuju agama, ekonomi, kebajikan rakyat dan pentadbiran negara.
“Politik bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana semua keputusan berkaitan ekonomi, percukaian, hutang negara dan kebajikan rakyat akhirnya ditentukan oleh pemimpin yang dipilih,” katanya.
Beliau turut memetik pandangan Imam al Ghazali bahawa agama ialah asas manakala pemerintah ialah penjaganya, sekali gus menegaskan kepentingan memilih pemimpin yang mampu memelihara agama serta mentadbir negara dengan adil.
Katanya, pemimpin Islam wajib berlaku adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum kerana setiap amanah akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Beliau memberi contoh pemerintahan Islam yang memelihara hak masyarakat bukan-Islam di Mesir serta pentadbiran PAS di Kelantan yang menurutnya tidak pernah menzalimi masyarakat Cina, India dan Siam sepanjang lebih tiga dekad mentadbir negeri itu.
Mengulas isu perjuangan mempertahankan hak Melayu bersifat perkauman, Idris berkata, Islam hanya menolak asabiah yang mempertahankan kezaliman dan bukannya usaha mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau turut menyentuh mengenai Deklarasi Setapak DAP yang menurutnya menolak pengasingan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera serta menggesa rakyat memahami sejarah kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara.
Dalam perkembangan lain, beliau membangkitkan isu kerugian pelaburan dana pencen berjumlah RM200 juta yang menurutnya perlu dijelaskan secara telus kepada rakyat.
Beliau turut mempersoalkan tindakan membangkitkan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Tabung Haji ketika musim pilihan raya sedangkan perkara itu tidak dibahaskan lebih awal di Parlimen.
“Kalau ada salah, ambillah tindakan. Kita tidak pernah menghalang, tetapi kenapa perkara itu dibangkitkan ketika musim pilihan raya?” soalnya.
Beliau turut menyeru seluruh pengundi Negeri Sembilan supaya pulang mengundi dan tidak mensia siakan hak masing masing pada hari pengundian. – HARAKAHDAILY 30/7/2026











