
SEREMBAN: Dato’ Dr Mohamad Rafie Ab Malik menyeru rakyat tidak wajar memberikan mandat semula kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 kerana gagal mentadbir negeri dengan baik.
Beliau berkata PRN yang diadakan kali ini berpunca daripada kegagalan Kerajaan PH mengurus pentadbiran negeri sehingga menyebabkan wang rakyat terpaksa dibelanjakan bagi mengadakan pilihan raya baharu.
Menurut calon PN bagi DUN N.14 Ampangan, itu tempoh antara PRN kali ini dengan pilihan raya terdahulu tidak sampai tiga tahun menunjukkan berlakunya pembaziran dana awam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kebajikan rakyat.
“Rakyat Negeri Sembilan perlu sedar pilihan raya negeri ini diadakan kerana kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan mengurus negeri sehingga dana rakyat terpaksa digunakan.
“Dalam keadaan rakyat berdepan pelbagai permasalahan kehidupan, mengapa perlu kita memilih mereka semula sedangkan mereka telah gagal,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Pimpinan D’Ampangan di UDM Shahbandar, Ampangan, di sini.
Turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; bekas EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Abu Ubaidah Reza serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Dr Rafie berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kos pelaksanaan PRN Negeri Sembilan mencecah RM80.6 juta, iaitu kira kira 12.5 peratus daripada Belanjawan Negeri Sembilan 2026 berjumlah RM640 juta.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan berlaku usaha mengelirukan rakyat berhubung isu peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.
Menurutnya, pada 4 Jun lalu tersebar sepucuk surat yang memaparkan peruntukan RM180,000 bagi tempoh Julai hingga September kepada 17 ADUN PH.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan jumlah sebenar yang diterima lebih tinggi apabila melibatkan tambahan RM45,000 bagi penyelenggaraan pejabat, menjadikan keseluruhan RM225,000 bagi setiap ADUN.
“RM180,000 itu kononnya untuk kesejahteraan rakyat, manakala RM45,000 lagi adalah kos penyelenggaraan pejabat,” dedahnya yang juga bekas EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau turut mempersoalkan kesahihan tarikh surat berkenaan yang bertarikh 4 Jun kerana berdasarkan maklumat diterimanya daripada pihak di Wisma Negeri, surat itu hanya sampai ke Pejabat EXCO pada 22 Jun.
“Ini bermakna surat bertarikh 4 Jun itu adalah surat _‘backdated’_,” ujarnya yang sehubungan itu mencabar kerajaan negeri mendedahkan penyata bank bagi membuktikan tarikh sebenar peruntukan tersebut dimasukkan ke dalam akaun 17 ADUN PH.
Katanya, isu berkenaan pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, namun menurutnya tidak dijawab oleh Perdana Menteri.
Dr Rafie turut menegaskan selepas isu itu tular, terdapat ADUN yang memulangkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima.
“Maklumat yang saya terima, mereka bukan memulangkan kesemuanya. Ada yang memulangkan RM90,000 sahaja daripada jumlah RM180,000 ditambah RM45,000.
“Mereka juga mengetahui tempoh 1 Julai hingga 30 September adalah ketika mereka bukan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri. Mengapa tidak dipulangkan kesemuanya?” soal beliau.
Dato’ Dr Mohamad Rafie juga menegaskan, itu menunjukkan PH tidak layak diberikan mandat sekali lagi untuk mentadbir Negeri Sembilan.
“Disebabkan itu mereka tidak layak untuk kita pilih dan lantik semula ke Dewan Undangan Negeri. Ini bukan sahaja melibatkan Ampangan tetapi keseluruhan 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026











