Jika PH menang, kawasan Melayu akan dipecahkan

Melalui persempadanan kawasan pilihan raya

- Advertisement -

SEREMBAN: Kerjasama antara PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai langkah terbaik untuk mengembalikan kepimpinan Melayu-Islam, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

- Advertisement -

Malah beliau melihat kerjasama tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 ini bakal membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil berbanding kerajaan ketika ini.

Menurutnya, kerjasama PN-BN itu bukan bertujuan membentuk gabungan politik baharu, sebaliknya merupakan kerjasama strategik bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Pimpinan D’Ampangan di UDM Shahbandar, Ampangan, di sini kelmarin.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Reza; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta pimpinan PAS dan Umno tempatan.

Menurut beliau, perkembangan politik semasa menyaksikan pemimpin PAS dan Umno kini berkongsi pentas demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu.

Beliau berkata, kerjasama itu juga selaras dengan tuntutan Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al Hujurat ayat 10 yang menegaskan bahawa orang beriman ialah bersaudara dan perlu berdamai apabila berlaku perselisihan.

“PAS dan Umno berasal daripada perjuangan yang sama mempertahankan kepentingan orang Melayu. PAS juga lahir daripada rahim yang sama selepas penubuhan Umno pada 1946,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun kedua-dua parti pernah bersaing dalam pilihan raya, mereka pernah bergabung dalam kerajaan campuran pada 1974 sebelum kembali membawa haluan masing-masing.

Beliau berkata, kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 menjadi titik perubahan apabila PAS dan Umno kembali mencari titik persamaan sehingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

Katanya, kerjasama itu membolehkan kedua-dua parti memenangi beberapa Pilihan Raya Kecil termasuk Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.

Mengulas kedudukan politik negara, Takiyuddin berkata, kerjasama parti-parti Melayu perlu diteruskan bagi memastikan kepimpinan negara terus diterajui orang Melayu-Islam sebagai kaum majoriti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu bukan bermaksud menafikan hak kaum lain kerana pentadbiran sebelum ini membuktikan masyarakat pelbagai kaum dapat hidup secara aman dan harmoni.

“Di Kelantan misalnya, masyarakat bukan Islam terus menikmati kebebasan mengamalkan agama, budaya dan adat resam mereka,” katanya.

Beliau turut menolak sangkaan bahawa kerjasama PAS dan Umno akan menindas masyarakat bukan-Islam serta menyifatkan tuduhan mengenai ‘gelombang hijau’ sebagai fitnah politik.

Dalam pada itu, beliau mengkritik tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang disifatkannya tidak wajar kerana kerajaan negeri ketika itu masih mempunyai baki tempoh pentadbiran lebih dua tahun.

Menurutnya, Menteri Besar sepatutnya meletakkan jawatan selepas kehilangan sokongan majoriti ADUN dan bukannya memohon pembubaran DUN yang menyebabkan kerajaan menanggung kos pilihan raya yang besar.

Mengulas sasaran PRN Negeri Sembilan, beliau berkata, kerjasama PN dan BN mampu membentuk kerajaan negeri sekiranya memperoleh sekurang kurangnya 19 daripada 36 kerusi DUN.

Katanya, BN ketika itu memiliki 14 kerusi manakala PN mempunyai lima kerusi, justeru kemenangan di semua kerusi yang dipertahankan kedua-dua gabungan berkenaan mampu membentuk kerajaan negeri baharu.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi berpotensi membawa kepada perubahan persempadanan kawasan DUN yang menurutnya boleh menjejaskan peluang parti-parti Melayu pada masa hadapan.

“Undi mereka amat penting bagi menentukan masa depan kita, anak cucu kita dan juga negeri yang amat kita sayangi ini,” katanya yang juga Setiausaha Agung PN.

BELIAU menyeru pengundi di Ampangan dan seluruh Negeri Sembilan keluar mengundi serta menggalakkan ahli keluarga yang berada di luar negeri pulang menunaikan tanggungjawab. – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -