
SEREMBAN: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berharap pengundi muda memberi sokongan kepada kerjasama, pakatan atau gabungan baharu antara Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN).
Beliau menjelaskan, pengundi muda kini berada dalam kebingungan untuk memilih sama ada menyokong BN atau Pakatan Harapan (PH) berikutan keadaan politik yang tidak menentu.
Menurut Tuan Guru, pakatan baharu itu diwujudkan sebagai pendekatan menyelesaikan masalah selain mengambil langkah mengkaji semula serta memperbetulkan kesilapan lalu.
“Nak perbetul balik (kesilapan lalu). Dengan sebab itu kita mengharapkan pengundi-pengundi muda memberi sokongan kepada gabungan (PN-BN) ini.
“Kami harap, kerana perjuangan kita ni bukan untuk hari ini saja, (tetapi) untuk masa depan, untuk negara akan datang, generasi muda semua, sama ada generasi muda Melayu, Cina, India dan sebagainya.
“Kita mahu kita hidup dalam masyarakat yang harmoni, yang adil untuk semua, masyarakat yang tidak zalim,” ujarnya dalam Ceramah Mega Birukan Seremban di Dewan Perdana KRS, di sini malam tadi.
Dosa pahala
Tuan Guru turut menyatakan, walaupun orang Melayu memimpin, orang bukan-Islam tetap boleh terlibat dalam politik kerana Islam membenarkan semua kaum menyertainya.
Menurutnya, kepimpinan orang Islam berkaitan dengan ajaran agama yang menekankan konsep dosa dan pahala dalam kehidupan manusia.
Beliau mengingatkan, sejarah menunjukkan sesuatu bangsa boleh berubah apabila meninggalkan ajaran Islam seperti berlaku kepada bangsa Arab yang pernah menjadi bangsa perkasa.
“Macam orang Arab, dulu dia ikut Islam dia jadi bangsa yang perkasa. Bila orang Arab tak ikut Islam tukar, tukar, tukar (kepada) bangsa Turki, tukar (kepada) bangsa Kurdish pimpin dunia Islam.
“Alam Melayu pun sama juga, bila orang Melayu leka, Tuhan tukar kaum lain (untuk memimpin),” peringat Tuan Guru.
Islam Melayu
Ahli Parlimen Marang itu memaklumkan, orang Melayu hari ini masih menyayangi Islam dan perkara itu tidak menjadi masalah antara Umno dengan PAS.
Jelasnya, walaupun Umno dan PAS dilihat berbeza pada zahirnya, PAS membawa pendekatan Islam manakala Umno dikaitkan dengan Melayu dalam istilah masyarakat tempatan.
“Umno dengan PAS ni walaupun dilihat pada zahirnya berbeza, PAS pada Islam, Umno pada Melayu. Dalam istilah orang kita, Melayu itu Islam, Islam itu Melayu.
“Sehingga kalau ada orang bukan Islam masuk Islam, dia kata masuk Melayu. Kata orang Melayu keluar Islam tak Melayu lagi. Ini istilah orang Melayu di sini, tak jadi masalah.
“Ini bukan istilah perkauman, tak perkauman, tak perkauman. Kerana Islam mengharamkan kita perkauman. Fanatik diharamkan,” tegas beliau.
Tuan Guru turut memberi gambaran mengenai pemerintahan PAS di beberapa negeri yang menurutnya menunjukkan masyarakat bukan-Islam tidak dizalimi atau dianiaya.
“Saya sebut bagaimana kita menguasai Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, orang bukan Islam tak dizalimi tak dianiaya, hidup dalam keadaan aman, Ini berlaku.
“Kelantan 30 tahun kita memerintah, tak jadi masalah patut jadi pengajaran, tiada masalah,” terang Tuan Guru.
Sejarah China
Tuan Guru turut mengimbas sejarah China apabila Dinasti Ming pernah melantik orang Islam sebagai menteri, gabenor dan pemimpin kerajaan.
Beliau berpandangan, pelantikan itu berlaku kerana orang Islam percaya kepada dosa dan pahala serta tidak melakukan penyelewengan juga kezaliman.
“Dengan sebab itu Raja Dinasti Ming ini ada yang melantik orang Islam jadi menteri-menteri dan pegawai tinggi kerajaan. Ini berlaku.
“Dengan sebab itulah di negeri China ada 100 juta lebih orang Islam hari ini. Walaupun peratusnya kecil, tapi masih ada sampai sekarang. Ni kesan daripada tamadun Islam yang kita kena sedar.
“Dengan sebab itu jangan risau bila kami sebut Melayu-Islam yang memimpin, maka ini untuk menyelamatkan negara untuk penyelesaian yang sebenarnya,” jelas Tuan Guru.
Negeri Sembilan jadi contoh
Beliau mengharapkan pilihan raya Negeri Sembilan menjadi landasan perubahan ke seluruh negara melalui kerjasama yang lebih fleksibel.
“Kerjasama yang lebih fleksibel, kerjasama yang lebih ke depan insya-Allah, akan jadi contoh kepada negeri-negeri yang lain.
“Negeri Sembilan jadi contoh negeri lain insya-Allah dan (kena) beri menang dulu. Dengan sebab itu, undi kami (pada 1 Ogos ini).
“Insya-Allah kita akan buktikan dengan tindakan dan amalan yang berjaya insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026











