Dulu mereka guna ‘Ini Kalilah’, kali ini ‘Inilah Kalinya’

- Advertisement -

SEREMBAN: Rakyat Negeri Sembilan diseru memberi peluang kepada semua calon yang menggunakan warna biru daripada PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, PRN Negeri Sembilan boleh menjadi titik permulaan untuk menunjukkan perubahan yang diinginkan rakyat.

“Jadi di Negeri Sembilan ni biarlah menjadi titik permulaan untuk kita menunjukkan bahawa rakyat sekarang ini dah bergerak.

“Kalau dulu mereka gunakan istilah ‘Ini Kalilah’, bagi kali ini memang ‘Inilah Kalinya’ untuk kita membuat perubahan,” ujar beliau dalam Ceramah Mega Birukan Seremban di Dewan Perdana KRS, di sini malam tadi.

Beliau berkata, formula kerjasama antara dua pihak yang berganding dalam PRN Negeri Sembilan itu sebelum ini tidak terfikir dilakukan, selain kedua-duanya menggunakan warna biru.

“Jadi bila kita cakap gelombang, gelombangnya pun warna biru, berbanding dengan pihak sana tu dua-dua merah,” jelasnya.

Mukhriz yang juga mantan Menteri Besar Kedah menyatakan, beliau merayu kepada rakyat Negeri Sembilan khususnya anak Kedah menetap di negeri itu supaya memberi peluang kepada calon yang memakai warna biru.

“Dan kita tunjukkan bahawa Negeri Sembilan ini mampu menjadi sebuah negeri yang maju yang boleh setanding dengan negeri jiran, negeri Selangor,” harapnya.

Beliau menegaskan, kemajuan itu akan memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan termasuk golongan muda dan lama.

Kos sara hidup

Dalam pada itu, Mukhriz turut menyentuh isu kos sara hidup yang menurutnya dekat di hati rakyat ketika ini.

Beliau berkata, pilihan raya merupakan ruang dalam sistem demokrasi untuk rakyat menunjukkan rasa puas hati atau tidak terhadap kerajaan yang memerintah di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Bila tiba masanya, inilah waktunya kita menunjukkan kepada pihak yang memerintah ataupun pihak yang berharap untuk mengganti tempat pemerintah itu, apa hasrat rakyat sebenarnya.

“Apa yang terbuku di dalam hati yang kita ambil masa mungkin empat tahun lima tahun sebelum kita dapat terjemahkan dalam bentuk undi yang menjadi hak dalam tangan kita,” jelasnya.

Mukhriz menyatakan demikian selepas bersama rakan daripada GERAKAN yang mewakili PN bertanding di kawasan DUN N.21 Bukit Kepayang, apabila meninjau keadaan peniaga di pasar malam.

Beliau berkongsi bahawa, rata-rata peniaga mengeluh mengenai kos perniagaan yang meningkat, namun pada masa sama memahami pelanggan juga tidak mampu membeli barangan khususnya makanan pada harga tinggi.

“Jadi dia kekalkan harga biasa walaupun kos meningkat. Maksudnya peniaga sekarang ni untung dia semakin mengecil dan rata-rata merungut kerana harga minyak,” kongsinya.

Beliau menjelaskan, kenaikan harga minyak memberi kesan kepada semua perkara termasuk kos pengangkutan yang akhirnya menyebabkan harga barang meningkat.

“Pada waktu yang sama ada juga tekanan di pihak pembeli, kuasa membeli itu pun berkurangan. Nilai mata wang dia pun menurun berbanding dengan dulu. Maka kuasa untuk dia berbeli-belah itu dah berkurangan,” kesalnya.

Mukhriz menyatakan, perkara itu sedikit sebanyak merupakan kesan daripada ekonomi yang tidak bertumbuh seperti biasa dan soal pertumbuhan ekonomi menjadi tanggungjawab kerajaan.

Alasan harga minyak naik

Beliau turut menyentuh alasan kerajaan berkaitan kenaikan harga minyak susulan gangguan di Selat Hormuz yang dikaitkan dengan konflik Iran, Amerika Syarikat dan Israel.

Menurut beliau, alasan berkenaan tidak boleh diterima kerana sebelum ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi pembangkang pernah menyatakan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak sepatutnya mampu mengawal kenaikan harga minyak.

“Sekarang ini apa pula alasan yang dia beri bila harga minyak itu melambung?

“Sekarang ni pula dia kata, ‘walaupun kita pengeluar minyak tetapi kerana kita mengeksport minyak kita yang berkualiti baik itu keluar, kita masih lagi terpaksa mengimport minyak untuk kegunaan kita sendiri. Itu sebabnya harga minyak tempatan kita naik’. Ada saja alasan dia,” tempelaknya.

Sehubungan itu, Mukhriz merayu rakyat supaya membuat perubahan bagi menjaga dan membela nasib mereka sendiri.

Beliau berkata, PN yang berganding dengan BN mempunyai keupayaan, kecekapan dan pengalaman untuk mentadbir Kerajaan Negeri Sembilan serta Kerajaan Persekutuan.

“Ini bukan soal bagilah peluang. Kami belum pernah. Itu semua tak timbul pun. Tuan-tuan dan puan-puan lebih mengenali kami semua ni. Bukan tak kenal, dah tahu dah boleh buat pertimbangan.

“Boleh buat perbezaan di antara siapa di antara ramai-ramai ni yang mana satu yang tuan-tuan dan puan-puan rasakan mampu untuk mengeluarkan kita daripada belenggu yang kita hadapi ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -