Kesepakatan ummah: Konfigurasi PN-BN akan benam ego PH di N9

- Advertisement -

“INSYA-ALLAH YB Ustaz, selepas menang Nismilan, kita mara ke Melaka,” ungkap anak muda berpostur tinggi dan berbadan  kekar itu. Anak muda berkulit putih itu memimpin Pemuda Umno Malaysia, graduan Fakulti Perubatan yang kini anggota MMK negeri Melaka. Tidak sedikit memicu keriuhan dalam belantara politik Malaysia, tetapi itulah watak anak muda.

- Advertisement -

“Melaka juga akan dibersihkan daripada PH dan Pilihan Raya Umum nanti mereka akan tersungkur di Putrajaya,” aku memanaskan diskusi sambil menikmati makan siang bersama teman-teman aktivis Pergerakan Pemuda Umno.

“Makan, makan… ikan ‘tu, makan,” tukas Dr Akmal kepada anak-anak buahnya yang setia. Kedai masakan tradisional itu dipenuhi sebahagian petugas pilihan raya serta orang ramai yang menghabiskan hari minggu mereka.

“Petang ini kami akan sama-sama dengan Pemuda PAS Pusat dalam program mengagau ikan. Ustaz Afnan dan geng Pemuda PAS, juga kami akan ride sama-sama,” jelas Ketua Pemuda Umno itu dengan begitu ceria. ” Lama saya tunggu saat begini, Ustaz,” tukasnya perlahan. Kami pernah bersama-sama dalam beberapa misi bantuan peringkat antarabangsa, di Bangladesh, Indonesia dan lain-lain.

Pertemuan tidak formal itu mengembalikan banyak nostalgia kepadaku. Hampir sedekad lalu, Dr Akmal memimpin sebuah NGO kebajikan di bawah naungan Pergerakan Pemuda Umno. Watak beliau yang suka membantu turut memberi nilai tambah kepada kepimpinannya. Bapa mertuanya kenalan baikku di Kuala Lumpur yang juga pengerusi sebuah surau tempat aku berkuliah. Duduk dan foto bareng dengan anak muda ini seperti mengimbau kembali episod pemuafatan PAS – Umno pasca 2018.

Tujuh tahun yang lalu, bangunan PWTC menjadi saksi sejarah penyatuan dua buah parti terbesar orang Melayu negara ini; sebuah parti bernuansakan kebangsaan Melayu dan sebuah lagi bernuansakan Islam. 14 September yang syahdu dan memahat sejarah, memadam api kesumat, menyulut seribu keinsafan bagi orang Melayu setelah regim Pakatan Harapan mewajahkan rupanya yang sebenar apabila berkuasa.

Seminggu dua ini, isu Muafakat Nasional atau usaha perpaduan ummah kembali menggelegak suhu apabila konfigurasi PN-BN berpencak dalam PRN Negeri Sembilan. Unjurannya, akan menamatkan penguasaan Pakatan Harapan selama dua penggal di negeri tanah adat ini.

Sejak PRN Johor, penentang penyatuan ummah seperti sasau dan hilang punca. Kebencian menyala, diunggah dengan wajah hodoh di media sosial. Sejak bulan lepas, musuh politik PAS dan Umno seperti sawan dan terpanar, putus berhubung mereka menilai dengan mata lalat dan menghujam dengan penuh nafsu apabila PAS melakarkan pendekatan berstrategik dengan Umno.  Ianya bukan perjuangan berkonsepkan assobiyah tetapi usaha penyelamatan ummah yang semakin diasak ke penjuru yang tajam dan dalam.

Avatar siber seperti ceplos meratib siang dan malam agar kesepakatan dua buah parti umat Islam ini gagal untuk bertaut namun pendukung PAS dan Umno telah bertekad untuk berdamai dan saling memaafkan. Johor dan Negeri Sembilan wajib diselamatkan, kesepakatan ini wajib dikembangkan ke peringkat Persekutuan walaupun pelaksanaannya bukan mudah bagi kedua-dua buah parti. Namun, di mana ada kehendak, maka di sana ada jalan!

Sebelum tertubuhnya Muafakat Nasional pada 14 September 2019, jika kita sedar, kebanyakan komen adalah daripada pemimpin Pakatan Harapan bagaimana PAS menjadi singkat ingatan terhadap kezaliman Umno terhadap PAS selama ini, tragedi Memali, royalti minyak terhadap kerajaan PAS, pengucilan terhadap kerajaan Kelantan dan lain-lain isu. Usaha menimbulkan keraguan kepada permuafakatan ummah juga membandingkan dua orientasi berbeda bagi dua parti yang selama hampir tujuh dekad bertarung di pentas persaingan demokrasi negara ini.

Jika tujuh tahun dahulu dan juga berulang dalam bulan ini, yang paling takut ialah pemimpin DAP yang cuba menggambarkan permuafakatan politik PAS – Umno ini akan menyebarkan rasa permusuhan antara kaum dan menyuburkan polarisasi kaum. Ketakutan DAP dengan pantas disambung oleh parti PAN, perkakas politik mereka yang paling setia. Lihatlah kegelabahan mereka seolah langit akan menghempap negara ini dan terbakar menjadi padang jarak padang tekukur.

Naratif yang dibawa oleh pemimpin Pakatan Harapan bahawa PAS akan kembali disakiti apabila BN kembali berkuasa di peringkat nasional sebagaimana PAS ditendang pada tahun 1977 daripada BN. Jangan membenarkan naratif ini, wahai pemain politik pragmatis, kerana mahalnya harga sebuah perpaduan umat. Jangan dilagakan dengan isu siapa yang akan menjadi PM selepas menakluki Putrajaya dan sebagainya yang merosakkan persepakatan.

Pendukung dan penyokong parti dalam PN mahu pun BN wajib memahami bahawa dalam politik, semua pertimbangan risiko perlu diambil kira dan memahami latar sejarah, unjuran strategik namun  jika sejarah silam ssesebuah  parti politik diambil kira, maka tidak akan berlaku apa-apa permuafakatan, pakatan strategik atau kerjasama berdasarkan realiti semasa.

Jika pertandingan banyak penjuru berlangsung dalam PRU-16 maka jangan ditangisi lagi jika kelompok minoriti kaum akan menentukan hala tuju negara ini sebagaimana pernah berlaku selama 22 bulan dahulu. Bersambung  lagi fasa yang menegangkan selepas PRU-15, dengan pelbagai petaka kepada umat termasuk di Negeri Sembilan ini.

Permuafakatan Melayu Islam sangat penting kepada tanah pertiwi ini, bukan sahaja dapat meneguhkan kuasa politik Islam Melayu negara ini namun menjalin hubungan dengan kaum-kaum lain bagi memastikan negara ini bergerak di landasan yang betul. Rakyat yang gelisah dan marah dengan reputasi pemerintahan Pakatan Harapan selama ini, bercakaran sesama sendiri, gangguan kepada rasa hormat sesama warga, penjualan aset-aset negara, hubungan kaum yang mula hilang harmoni kerana sikap etnosentrisme sebahagian pemimpin PH terutamanya daripada DAP, pengangguran semakin menjolok mata, polisi-polisi pra-matang para Menteri, serta kontrak sosial yang mula didobrak pasca 9 Mei 2018.

Koalisi dan permuafakatan politik Melayu Islam ini wajib diperteguhkan, bukan dicari jalan untuk dipecahkan demi ambisi kuasa. Politik adalah urusan agama, bukannya wahana mengisi tembolok dan takah menaiki harkat sosial semata-mata. Nismilan bukan yang pertama, ianya akan disusuli kemenangan yang lebih besar dan mengukuhkan persefahaman politik Melayu Islam.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -