
APABILA membicarakan pelaksanaan Islam dalam pemerintahan, ramai yang membayangkan bahawa sesebuah kerajaan Islam mesti terikat kepada satu mazhab sahaja. Sebenarnya, para ulama sejak dahulu menjelaskan bahawa ruang pentadbiran negara jauh lebih luas daripada fiqh yang diamalkan oleh individu.
Dalam kehidupan peribadi, seseorang boleh beramal mengikut mazhab yang menjadi pegangannya. Apabila melibatkan urusan pentadbiran negara, pemerintah memikul tanggungjawab yang lebih besar. Setiap keputusan perlu mengambil kira maslahat rakyat secara keseluruhan. Selagi sesuatu pandangan datang daripada mazhab yang muktabar dan tidak bercanggah dengan nas yang jelas, pandangan itu boleh dipilih apabila lebih sesuai dengan keperluan semasa.
Malaysia, termasuk Kelantan, secara tradisinya berpegang kepada mazhab al-Syafie. Dalam beberapa urusan pentadbiran, pandangan daripada mazhab lain turut diterima apabila didapati lebih sesuai untuk mencapai kepentingan awam.
Contohnya ialah pembayaran zakat fitrah. Dalam mazhab al-Syafie, zakat fitrah pada asalnya ditunaikan dengan makanan asasi. Pada hari ini, pembayaran menggunakan wang diterima sebagai dasar pentadbiran kerana lebih mudah diurus, lebih praktikal dan lebih memberi manfaat kepada golongan yang menerimanya. Perubahan pada kaedah pelaksanaan ini tidak mengubah syariat. Yang berubah hanyalah pilihan pandangan fiqh yang lebih sesuai bagi memenuhi keperluan masyarakat.
Begitu juga ketika Kelantan menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah. Ada pihak mempersoalkan beberapa peruntukan yang tidak selaras dengan pandangan muktamad mazhab al-Syafie, termasuk penetapan umur tertentu bagi pelaksanaan hukuman. Sebenarnya, perkara tersebut dibuat berdasarkan pandangan daripada mazhab lain yang turut diterima oleh para ulama kerana lebih sesuai dengan keperluan sistem perundangan dan pentadbiran semasa.
Di sinilah terserlah keluasan fiqh Islam. Kepelbagaian pandangan dalam kalangan mazhab bukan suatu kelemahan. Sebaliknya, ia menjadi rahmat yang membolehkan pemerintah memilih pandangan yang paling membawa kebaikan kepada rakyat mengikut keadaan, masa dan tempat.
Para fuqaha merumuskan satu kaedah penting dalam fiqh siyasah bahawa setiap tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kepada maslahat mereka.
Kaedah ini menjadi antara asas penting dalam pentadbiran Islam. Pemerintah bukan hanya melihat sama ada sesuatu perkara mempunyai sandaran hukum, bahkan turut menilai kesannya terhadap agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan kesejahteraan masyarakat. Setiap dasar hendaklah membawa manfaat, mengelakkan mudarat dan memelihara kepentingan umum.
Oleh sebab itu, fiqh pemerintahan memerlukan keluasan ilmu, kefahaman terhadap realiti semasa dan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan. Tidak semua persoalan boleh diselesaikan dengan melihat satu pandangan fiqh secara terpisah daripada keadaan masyarakat. Pemerintah perlu memahami perubahan zaman, cabaran yang dihadapi dan kesan setiap keputusan sebelum memilih jalan yang paling hampir dengan kehendak syariat.
Inilah yang membezakan fiqh individu dengan fiqh pemerintahan. Seorang individu bertanggungjawab terhadap amalannya sendiri, sedangkan pemerintah memikul amanah yang memberi kesan kepada seluruh rakyat. Setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja dipertanggungjawabkan di hadapan manusia, bahkan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Apabila keluasan fiqh ini difahami, akan terserlah bahawa Islam menyediakan prinsip yang lengkap untuk mentadbir masyarakat dan negara. Prinsip-prinsip inilah yang kemudiannya diterjemahkan oleh generasi awal Islam sehingga lahir sebuah tamadun yang berkembang merentasi pelbagai bangsa, bahasa dan benua.
DATO’ SRI AMAR D’RAJA MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 30/7/2026











