Sebut Tanah Melayu bukan rasis, kenapa ada yang gelisah?

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan pendiriannya menyebut istilah Tanah Melayu sebagai bukanlah suatu kenyataan bersifat perkauman atau rasis, sebaliknya perlu difahami berdasarkan fakta sejarah serta kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, terdapat pihak yang sengaja memanipulasikan kenyataan berkaitan Tanah Melayu sehingga menimbulkan persepsi kononnya ia berbaur perkauman, sedangkan hakikatnya semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum diiktiraf sebagai warganegara yang mempunyai hak masing-masing.

“Rasis? Hendak jadi rasis kerana apa? Datuk saya sendiri berasal daripada keturunan Cina. Tidak timbul soal rasis. Tiada siapa yang mengatakan bahawa orang bukan-Melayu bukan warganegara Malaysia.

“Semua ialah warganegara Malaysia dan mempunyai hak sebagai rakyat negara ini,” katanya dalam temu bual menerusi Podcast Tanpa Studio yang diterbitkan Kedah Online.

Menurut beliau, istilah Tanah Melayu tidak sepatutnya menimbulkan kemarahan atau keresahan kerana ia merupakan hakikat sejarah yang tidak boleh dipadamkan.

“Apabila disebut Tanah Melayu, mengapa ada pihak yang marah, tersinggung dan tidak senang hati? Apakah sebenarnya yang mengganggu sehingga istilah itu tidak boleh disebut?

“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa perkara itu menjadi isu,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN)

Sanusi berkata, keadaan menjadi tidak adil apabila orang Melayu yang bercakap mengenai sejarah bangsanya dilabel sebagai rasis, sedangkan kaum lain bebas memperjuangkan identiti serta hak masyarakat masing-masing atas alasan sebagai kaum minoriti.

Beliau berkata, masyarakat perlu menilai isu tersebut secara objektif berdasarkan fakta sejarah, bukannya dipengaruhi persepsi yang dibentuk oleh pihak tertentu.

Menurutnya, sejarah jelas menunjukkan, British membawa masuk masyarakat India untuk bekerja di ladang, manakala masyarakat Cina pula dibawa bagi memenuhi keperluan ekonomi ketika era penjajahan.

Katanya, menjelang penubuhan Malayan Union pada 1946, diikuti Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 dan seterusnya negara mencapai kemerdekaan pada 1957, pelbagai perbahasan berlangsung di Parlimen British bagi menentukan masa depan penduduk yang dibawa masuk ke Tanah Melayu.

“Semua Ahli Parlimen British ketika itu merujuk negara ini sebagai Tanah Melayu.

“Mereka membincangkan bagaimana penduduk yang dibawa masuk tidak menjadi individu tanpa kewarganegaraan sebelum akhirnya prinsip jus soli (dengan pindaan) diterima dan kontrak sosial dipersetujui oleh pemimpin pelbagai kaum,” katanya.

Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, perkara tersebut kemudiannya dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai asas pembentukan negara.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, di samping menjamin kebebasan penganut agama lain mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing secara aman dan damai.

Sehubungan itu, beliau menegaskan  memahami sejarah negara secara menyeluruh amat penting bagi mengelakkan salah tafsir terhadap fakta yang menjadi asas pembentukan Malaysia.

Pada masa sama, Sanusi turut mempertahankan kenyataannya susulan dakwaan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang menuduh beliau mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghalau masyarakat Cina dan India kembali ke negara asal mereka.

“Apa yang saya kata hanya begini, “Melayu tadak dah tanah, Melayu ada Tanah Melayu ni saja. Orang India ada India. Orang Cina ada Cina… Melayu di mana? Melayu di sini saja,” ujarnya.

Bagaimanapun, Sathia kemudian mengakui kekhilafannya apabila mengaitkan ucapan Menteri Besar Kedah itu dengan perkataan ‘balik’, sedangkan ungkapan sebenar yang digunakan Sanusi ialah ‘ada’.

Walaupun mengakui kekhilafan tersebut, Sathia mendakwa ia tidak menjejaskan asas laporan polis dibuat terhadap pemimpin PAS itu pada Jumaat lalu berhubung ucapan yang didakwanya berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.

Sementara itu, peguam yang mewakili Menteri Besar Kedah telah menghantar surat tuntutan kepada Sathia berhubung dakwaan yang didakwa memfitnah anak guamnya menerusi satu video yang dimuat naik di platform TikTok.

Surat tuntutan bertarikh 27 Julai 2026 daripada Faizi & Associates, Peguambela dan Peguamcara, memaklumkan bahawa firma berkenaan mewakili Muhammad Sanusi Md Nor dalam tindakan tersebut.

Menurut kandungan surat itu, Dr Sathia didakwa membuat kenyataan media pada atau sekitar 24 Julai lalu di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban sebelum memuat naik rakaman kenyataan berkenaan melalui akaun TikTok miliknya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -