
KUALA LUMPUR: “RUU Padi dan Beras ini janganlah keras, nanti pesawah habis lari. Yang laparnya kita,” ujar Ahli Dewan Negara, Senator Hussin Ismail.
Beliau menegaskan dasar makanan negara mesti beralih daripada sekadar menjamin keselamatan makanan kepada mempertahankan kedaulatan makanan.
Beliau berkata, isu padi bukan hanya soal ‘food security’, malah menyentuh ‘food sovereignty’ kerana kekurangan makanan boleh menjadi ancaman dalaman yang lebih berbahaya daripada ancaman ketenteraan dari luar.
Hussin menyokong usaha menggubal undang-undang bagi memperkukuh kawal selia padi dan beras serta meningkatkan pengeluaran tempatan.
Namun, beliau mahu kerajaan memastikan pelaksanaannya benar-benar membela pesawah, bukannya membuka ruang penguasaan kartel.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan padi dan beras di Dewan Negara, semalam.
Produktiviti dan SSR yang merosot
Menurut beliau, perubahan iklim sememangnya mengancam pengeluaran pertanian dunia, namun Malaysia perlu belajar daripada negara lain yang masih mampu meningkatkan hasil padi dalam keadaan mencabar.
Beliau mempersoalkan bagaimana India masih menjadi pengeluar utama beras dunia dan pernah merekodkan lebihan 22 juta tan metrik untuk dieksport, manakala China, Bangladesh, Tanzania dan Indonesia turut terus meningkatkan produktiviti padi masing-masing.
“Kalau kita nak katakan soal ‘global warming’ itu satu isu, bagaimana kita nak menangani ‘global warming’ itu untuk kita tetap memberi upaya peningkatan?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan Kadar Sara Diri (SSR) padi Malaysia yang menurutnya pernah berada pada 62.7 peratus tetapi dilaporkan menurun kepada 56 peratus pada awal tahun ini, iaitu penurunan sekitar tujuh peratus dalam tempoh singkat.
Katanya, sasaran SSR sebanyak 80 peratus perlu disertakan dengan pelan yang jelas, memandangkan data menunjukkan pengeluaran tempatan sedang menurun.
Bimbang kartel benih dan kesan UPOV
Hussin turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan Malaysia menandatangani Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV), khususnya kesannya terhadap hak pesawah menyimpan, menggunakan dan menjual benih.
Walaupun terdapat kenyataan bahawa UPOV tidak menghalang petani menanam sendiri atau menyimpan benih, beliau mempersoalkan sama ada petani dibenarkan menjual benih tersebut.
Beliau berkata, sesetengah benih padi hanya boleh diperoleh daripada pengeluar baka, sekali gus menimbulkan risiko pesawah terikat dengan pengeluar dan kartel benih.
Di Kedah katanya, isu benih punca yang didakwa dikawal kartel sudah berlarutan puluhan tahun dan pesawah pula berdepan masalah apabila kilang dikatakan enggan menerima padi tidak menggunakan benih tertentu.
“Petani kecil yang menjadi tempat bergantung seluruh 30 juta rakyat Malaysia makan padi, makan beras, tetapi petani itu dimakan oleh orang lain, oleh kartel,” katanya.
Beliau merujuk contoh di Sepanyol, Ghana dan Jepun yang memperlihatkan undang-undang benih boleh mengehadkan atau menghukum petani yang menyimpan, menggunakan atau menjual benih tertentu.
Kos tinggi, pendapatan pesawah rendah
Hussin kemudian menggesa kerajaan menaikkan harga lantai padi daripada RM1,500 kepada RM1,800 satu tan metrik serta menilai semula subsidi output padi.
Menurutnya, dengan purata hasil 3.5 tan sehektar, harga lantai RM1,500 hanya menghasilkan sekitar RM5,250 sehektar, sedangkan kos pengeluaran dianggarkan RM5,500 satu tan metrik, belum termasuk upah dan penyelenggaraan mesin.
Beliau berkata, analisis Persatuan Pesawah mendapati margin keuntungan hampir sifar, manakala majoriti pesawah di Kedah dikatakan hanya memperoleh sekitar RM1,500 sebulan, iaitu di bawah paras kemiskinan.
Inovasi dan tanah terbiar
Hussin menggesa Kementerian Pertanian membuka ruang inovasi kepada pesawah, termasuk penggunaan mesin pemprosesan padi mini sebesar mesin basuh yang mampu mengeluarkan beras dengan pantas.
Katanya, mesin seperti itu boleh ditempatkan di kampung-kampung supaya pesawah tidak bergantung sepenuhnya kepada kilang, tauke baja dan pihak lain, di samping mengurangkan kos.
Beliau turut mencadangkan kira-kira 91,677 hektar atau 229,000 ekar tanah terbiar yang sesuai untuk pertanian dijadikan tanah rizab makanan.
“Pendekatan kolaborasi boleh dilaksanakan dengan memberi tempoh kepada pemilik tanah untuk membangunkannya sebelum kerajaan campur tangan dengan pembahagian manfaat yang adil,” ujarnya.
Beliau berkata, padi juga boleh ditanam di darat dan kawasan berbukit melalui kaedah padi huma, sambil mencadangkan Malaysia menetapkan tempoh jelas untuk beralih daripada negara pengimport kepada pengeksport makanan.
Beliau mengambil contoh Iran yang menjadi pengeksport gandum dalam tempoh kurang 10 tahun selepas menukar dasar importnya dan Belanda sebagai negara kecil tetapi pengeksport makanan dunia serta yakin Malaysia mampu mencapai matlamat sama.
Beliau menyeru kerajaan memperbanyak penyelidikan dan inovasi tempatan bagi menghasilkan input pertanian seperti racun perosak, agar pesawah tidak terus dihimpit kenaikan harga racun ulat batang, ulat gulung daun, bena perang dan rumpai.
“Letakkanlah sebahagian besar petani golongan yang termiskin ini, kita bela melalui peruntukan. Bukan kita cengkam mereka dengan pelbagai undang-undang yang kemudiannya menambahkan dan menyulitkan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2026











