Kedah wajar diberi insentif kekal jelapang padi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “RUU ini adalah satu langkah baik, namun kejayaannya tidak boleh diukur hanya dengan jumlah saman atau denda RM1 juta yang dikenakan,” ujar Ahli Dewan Negara, Senator Abdul Nasir Idris.

- Advertisement -

Beliau berkata kejayaan sebenar pindaan tersebut perlu diterjemahkan melalui bekalan beras negara yang stabil, pendapatan pesawah lebih baik, harga beras berpatutan kepada pengguna serta pembanterasan manipulasi pasaran.

Menurutnya, Kedah sebagai ‘Negeri Jelapang Padi Negara’ juga mesti terus diperkasa menerusi sokongan yang adil daripada Kerajaan Persekutuan.

Abdul Nasir menyatakan sokongan terhadap RUU itu yang bertujuan memperkukuhkan kawal selia industri padi dan beras negara, termasuk melalui peningkatan penalti, kuasa penetapan gred beras, pelesenan pembeli padi serta kawalan harga mengikut gred.

“Pindaan berkenaan turut memperuntukkan denda sehingga RM1 juta terhadap syarikat yang melakukan kesalahan berulang,” kata beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.

Namun, beliau menjelaskan tanggungjawab Ahli Dewan Negara bukan sekadar meluluskan hukuman lebih tegas, sebaliknya melaksanakan fungsi semak dan imbang agar pindaan tersebut benar-benar melindungi petani, pengguna serta keterjaminan makanan negara.

Kedah benteng keselamatan makanan

Katanya, perbahasan mengenai Akta Kawalan Padi dan Beras turut menyentuh masa depan Kedah yang mempunyai kira-kira 119,000 hektar kawasan sawah padi dan sekitar 160,000 hektar kawasan tadahan air Hutan Simpan Ulu Muda.

Menurut beliau, Kedah bukan sekadar sebuah negeri, bahkan benteng keselamatan makanan negara.

Abdul Nasir turut merujuk titah Tuanku Sultan Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini mengenai pengorbanan negeri itu dalam mengekalkan kawasan sawah padi demi keterjaminan makanan.

Menurutnya, baginda bertitah bahawa pengorbanan tersebut wajar disusuli insentif kewangan daripada Kerajaan Persekutuan kerana kawasan berkenaan dikekalkan bagi menjamin bekalan makanan negara.

“Apakah bentuk timbal balik balasan daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri yang memikul tanggungjawab besar ini?” soalnya.

Beliau menyokong cadangan menaikkan penalti sehingga RM250,000 bagi individu dan RM1 juta bagi syarikat yang mengulangi kesalahan seperti menyorok bekalan atau memanipulasi pasaran.

Bagaimanapun katanya, masalah industri padi tidak berpunca daripada penguatkuasaan semata-mata kerana kos pengeluaran dan harga input pertanian terus meningkat, manakala margin keuntungan pesawah semakin kecil serta hasil pengeluaran belum mencapai potensi sebenar.

“Jika akar masalah ini tidak dapat kita selesaikan, hukuman yang berat sahaja tidak akan menjamin keterjaminan makanan negara,” jelasnya.

Akauntabiliti dan KPI pesawah

Beliau berkata RUU itu memberikan kuasa lebih luas kepada Menteri untuk menetapkan gred beras, harga maksimum dan minimum, mengawal pelesenan pembeli padi serta menggubal pelbagai peraturan baharu.

Justeru, Abdul Nasir mencadangkan setiap keputusan besar berkaitan perubahan harga, gred dan syarat pelesenan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen atau sekurang-kurangnya dilaporkan kepada Parlimen setiap tahun.

Katanya, kuasa besar mesti disertai akauntabiliti yang besar, dengan pendapatan pesawah dijadikan petunjuk prestasi utama.

Beliau turut mencadangkan kementerian menetapkan KPI nasional meliputi peningkatan pendapatan bersih pesawah, hasil padi sehektar, pengurangan kos pengeluaran, pengurangan kehilangan hasil selepas tuaian dan peningkatan kadar sara diri (SSR) beras negara.

Jika KPI itu gagal dicapai katanya, kementerian perlu melaporkannya kepada Parlimen.

Bagi memperkukuhkan peranan Kedah, beliau mencadangkan Kerajaan Persekutuan menaik taraf sistem pengairan MADA agar lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim, mempercepat mekanisasi pertanian termasuk penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini.

Beliau juga menggesa penyelidikan benih padi tahan cuaca ekstrem diperkukuhkan melalui kerjasama MARDI dan MADA, selain menyediakan skim insentif khas kepada Kedah kerana mengekalkan kawasan sawah serta tadahan air yang memberi manfaat kepada seluruh negara.

Abdul Nasir berkata keterjaminan makanan ialah isu keselamatan negara, manakala krisis bekalan beras beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan beras bukan sekadar komoditi, tetapi aset strategik negara.

Beliau turut menyokong langkah kerajaan meningkatkan stok simpanan beras negara kepada 300,000 tan metrik bagi menghadapi gangguan bekalan, namun menegaskan simpanan strategik sahaja tidak mencukupi tanpa pengukuhan pengeluaran domestik.

Justeru, beliau mencadangkan pembentangan laporan tahunan industri padi dan beras di Parlimen serta audit bebas terhadap keberkesanan kawalan padi dan pelesenan.

Juga, tambahan peruntukan pemodenan jelapang padi Kedah, insentif kewangan tetap kepada negeri yang mengekalkan sawah dan tadahan air, serta menjadikan peningkatan pendapatan pesawah sebagai KPI utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. – HARAKAHDAILY 29/7/2026

- Advertisement -