
SEREMBAN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan menyusun langkah menyekat kemaraan DAP sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kata Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Tuan Guru menegaskan, tindakan itu perlu kerana DAP merancang perkara yang disifatkan boleh merosakkan negara, bukannya untuk mentadbir negara.
“DAP merancang perancangan yang sangat merosakkan negara, bukan nak tadbir negara (dengan baik), (tetapi) nak memerintah negara, (dan) meneruskan kerja-kerja penjajah,” tempelak Tuan Guru.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian dalam Ceramah Mega Birukan Seremban di Dewan Perdana KRS, di sini malam tadi.
Tuan Guru menyatakan, terdapat perkara berkaitan asas negara yang mula dicabar selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya.
“Di antaranya bila Pakatan Harapan menang pilihan raya, kita lihat bagaimana ada kalangan (PH) yang berani mencabar Islam dalam Perlembagaan.
“(Termasuk) mencabar Raja-raja, mencabar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mencabar hubungan kaum. Ini boleh merosakkan,” ujarnya.
Pilihan raya PBT
Tuan Guru turut menyentuh cadangan mengadakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menurutnya boleh memberi kesan terhadap hubungan masyarakat.
Beliau menjelaskan, pilihan raya PBT sebelum ini dibatalkan kerana mengambil kira susunan masyarakat yang berlaku ketika zaman British.
“British sengaja menyusun supaya kawasan bandar (kaum) Cina semua majoriti (ditempatkan di bandar), yang (kaum) India (ditempatkan di) estet, yang orang Melayu (ditempatkan di) pendalaman,” ulas Tuan Guru.
Menurut beliau, pelaksanaan pilihan raya PBT boleh menyebabkan kawasan bandar dikuasai satu kaum tertentu.
“DAP yang (akan) menguasai (bandar), satu kaum saja (akan menguasai bandar). Ini merosakkan hubungan bandar dan luar bandar,” jelasnya.
Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia itu mengingatkan, isu tersebut perlu difahami semua pihak termasuk masyarakat bukan Islam.
Beliau menyifatkan DAP dan PH lebih mengutamakan kuasa sehingga tidak mempedulikan kesan terhadap hubungan kaum.
“DAP nak kuasa saja, PH nak kuasa saja, dia tak peduli pasal kaum ni, ini kena sedar akan berlaku begitu. Dengan sebab itulah kita menentang pilihan raya PBT ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Tuan Guru mengimbas bahawa, PAS pernah bekerjasama dengan DAP dan PKR bertujuan untuk menentang salah laku serta memperjuangkan keadilan.
“Bila DAP dan Pakatan Rakyat membenar (dan) mengulang balik (untuk melaksanakan) pilihan raya (pihak berkuasa) tempatan ini, PAS tarik diri, tak ada kerjasama (dengan Pakatan Rakyat dan DAP).
“PAS tak mahu terlibat, termasuklah konsep adil untuk semua dah tak betul dah, ini (yang) berlaku (pada masa itu),” ulas Tuan Guru.
Janji besar tak tunai
Tuan Guru dalam ucapan beliau itu turut mengulas kelemahan Kerajaan PH yang menurutnya berpunca daripada janji besar ketika pilihan raya.
“Dan kita lihat apa lagi kelemahan-kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan yang janji besar-besar dalam pilihan raya, janji yang mustahil (dilaksanakan), digunakan (dalam pilihan raya).
“Nak turun harga minyak dalam masa 24 jam. ‘Hari ni menang harga minyak turun’, macam-macam. Nak ambil kerja, nak selesai masalah pelajar-pelajar universiti dalam masa 24 jam.
“Banyak janji-janji dia. Akibat janji itulah sokongan kepada mereka meleset khususnya pengundi-pengundi muda tak sokong mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026











