
SEREMBAN: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak dakwaan dirinya bersikap rasis terhadap mana-mana kaum.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menjelaskan, Kerajaan Negeri Kedah turut memberikan bantuan kepada sekolah persendirian Cina sebagai sebahagian usaha membantu institusi pendidikan.
“Tiap-tiap tahun kita bagi kat sekolah persendirian Cina ni RM100,000, RM100,000, RM100,000 untuk bantu dialah.
“Oleh kerana banyaknya sekolah Cina di Kedah ni RM300,000 itu kita pecah bagi sekolah lain sikit-sikit,” ujarnya dalam dalam Ceramah Mega Birukan Seremban di Dewan Perdana KRS, di sini malam tadi.
Muhammad Sanusi mendedahkan, Kerajaan Negeri Kedah turut mempertimbangkan isu tunggakan cukai tanah membabitkan sekolah persendirian Cina di Kedah.
“Hari ni masuk ‘paper’ sekolah ni, tiga sekolah persendirian ni tak mampu bayar cukai tanah. Ada tunggakan di dua (sekolah) Sin Min dan Keat Hwa RM444,000 tunggakan cukai tanah.
“Sekolah ni bukan berasaskan keuntungan. ’Depa’ (mereka) sekolah persendirian, ‘depa’ juga menyumbang kepada pembentukan anak-anak bangsa kita, anak-anak di negeri kita, di negara kita untuk menjadi budak pandai,” ujarnya.
Beliau memaklumkan kerajaan negeri memutuskan pengurangan tunggakan cukai tanah selepas mengambil kira keadaan sekolah berkenaan.
“Daripada RM444,000 tunggakan itu tuan-tuan, kita hapuskan 90 peratus. Dia cuma bayar RM44,000. Takkan tak baik tara itu?” persoalnya.
Muhammad Sanusi menjelaskan, bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri Kedah kebanyakannya tidak diuar-uarkan kepada umum.
“Banyaklah benda-benda baik kita buat, cuma kita buat baik ni tak mahu ‘habaq’ (beritahu) kat orang. Kita buat senyap-senyap.
“Tapi hat ni kena ‘habaq’ lah juga. ‘Depa’ kata kita rasis, adakah muka aku ni rasis?” persoalnya.
Aman harmoni libat pelbagai kaum
Beliau turut menegaskan keadaan di Kedah kekal aman dan harmoni melibatkan masyarakat pelbagai kaum.
“Tuan-tuan sekalian, di Kedah semuanya berjalan dengan baik, aman, harmoni, orang Cina, orang India, orang Siam.
“Kami lebih majmuk. Kami ada orang Siam. Ada Songkran. Ada Tambun. Tiap-tiap tahun duk mandi air apa itu, tak ada siapa kacau,” jelasnya.
Muhammad Sanusi menjelaskan, keharmonian tersebut menggambarkan gaya pemerintahan PERIKATAN NASIONAL (PN) sepanjang enam tahun mentadbir Kedah.
“‘Sembuqlah’ (sembur air) nak ‘sembuq’ apa, (termasuk ada aktiviti main) tong dram (gendang) pun. (Kerajaan Kedah) Tak ada kacau, tak ada gangguan apa. Harmoni, aman damai di Kedah.
“Itulah gaya pemerintahan PERIKATAN NASIONAL yang telah kita persembahkan enam tahun ni,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Pencapaian Kedah
Beliau turut menyentuh pencapaian Kedah dari segi pelaburan serta pengurusan kewangan negeri sepanjang tempoh berkenaan.
“Bukan sahaja pelaburan masuk tertinggi dalam sejarah dalam tempoh enam tahun ni seratus lapan puluh tiga bilion di Kedah.
“Ooh ‘depa’ duk ‘habaq’ kata Pulau Pinang saja ‘tera’ (pandai memerintah). Hoi Kedah pun ‘tera’ (hebat) hoi,” ujarnya.
Muhammad Sanusi menyatakan, Kerajaan Negeri Kedah juga mencatatkan lebihan belanjawan hasil pengurusan kewangan yang baik.
“Empat tahun kebelakangan ni bajet kita semua ‘surplus’ (lebihan). Yang terakhir ‘surplus’ RM48 juta.
“RM48 juta bagi negeri besar. ‘Surplus’. Jaga duit dengan elok, jaga orang ramai dengan elok,” ulasnya.
Beliau menegaskan, bantuan turut diberikan kepada pelbagai institusi termasuk sekolah pondok, sekolah agama dan sekolah Cina.
“Sekolah pondok tak mampu kita tolong, sekolah agama tak mampu kita tolong, sekolah Cina tak mampu pun kita tolong.
“Kat mana kata kita rasis itu? Tak betul tuan-tuan, puak (PH) ni kira nak bagi orang keliru,” tempelaknya.
PH ambil kesempatan
Muhammad Sanusi menyifatkan, pihak yang mengambil kesempatan daripada kekeliruan masyarakat tidak sesuai mentadbir kerajaan.
Beliau kemudian menyeru pengundi Negeri Sembilan membuat pilihan berdasarkan pertimbangan terhadap masa depan negeri.
“Jadi jangan undi Pakatan Harapan walaupun tuan-tuan Melayu, tuan-tuan Cina, tuan-tuan India, tuan-tuan kaum apa pun yang boleh mengundi di Negeri Sembilan.
“‘Pikiaq’ (fikir) jauh sikit, fikir masa depan, orang-orang yang tenang. Orang-orang yang berfikir panjang, yang faham di belakang dan di depan,” serunya.
Beliau turut menempelak PH yang hanya memperoleh kelebihan apabila keadaan menjadi tegang dalam sesuatu isu.
“Pakatan Harapan ni tuan-tuan dia hanya dapat peluang bila keadaan menjadi panas. Sebab tu dia gelombang dia merah.
“Kita dak, dalam ditekan, dihenyak di apa pun, esok polis nak ambil ‘statement’. Kita mai duk gelak saja pun.
“La (Sekarang) kita mai lawan hujah. Nak berlawan apa manja ni, sat-sat (sekejap-sekejap) mengadu dekat pak. Sat-sat mengadu dekat pak. Apa barang macam ni? Takyah lawanlah,” ujarnya berseloroh.
Seruan
Muhammad Sanusi turut merayu pengundi Negeri Sembilan memberikan sokongan kepada BN dan PN pada PRN negeri itu.
“Saya harap rakan-rakan kita di Negeri Sembilan di semua DUN yang kita bertanding berilah undi kepada Barisan Nasional-Perikatan Nasional.
“Yang ada di dalamnya PAS, WAWASAN, GERAKAN, PEJUANG, Barisan Nasional yang akan mewakili tuan-tuan membentuk satu kerajaan baru di Negeri Sembilan Darul Khusus,” jelasnya.
Beliau turut menggesa pengundi muda yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Orang-orang muda yang telah ada pendirian, yang belum ada pendirian, yang bekerja jauh dan dekat saya rayu untuk adik-adik semua rakan-rakan, baliklah mengundi. Kali ni pengundian pilihan raya negeri penting seminit tak sampai dah,” katanya.
Muhammad Sanusi turut menyeru supaya pengundi di luar Negeri Sembilan termasuk Kuala Lumpur, Johor dan Melaka perlu pulang mengundi.
“Baliklah ramai-ramai. Jalankan tanggungjawab supaya pada satu Ogos 2026, tuan-tuan semua terbabit dalam satu peristiwa besar mencipta sejarah, menumbangkan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2026











