PAS buat keputusan MB N9 daripada Barisan Nasional

Jentera PN dan BN diseru saling membantu di kawasan masing-masing

- Advertisement -

SEREMBAN: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa PAS memutuskan untuk Barisan Nasional (BN) yang akan memimpin Negeri Sembilan sekiranya kerjasama BN dan PERIKATAN NASIONAL (PN) menguasai Pilihan Raya Negeri itu pada 1 Ogos ini.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira kedudukan Barisan Nasional yang kuat di Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan, Barisan Nasional yang pimpin, Menteri Besar (daripada) Barisan Nasional kerana dia yang besar di sini. Ini kita buat keputusan begitu,” ujarnya.

Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia itu berkata demikian dalam Ceramah Mega Birukan Seremban di Dewan Perdana KRS, di sini malam tadi.

Tuan Guru menegaskan, PN tidak akan bertembung dengan BN di kawasan yang ditandingi gabungan berkenaan.

“Di mana tempat yang kita bertanding, PERIKATAN NASIONAL bertanding, Barisan Nasional tak bertanding. Kita tak lawan Barisan Nasional.

“Kecuali parti bunga raya yang pergi kacau, yang itu cerita lainlah, untuk nak pecah undi. Kita percaya insya-Allah tak ada kesannya,” ulasnya dipercayai merujuk kepada BERSATU.

Tuan Guru yang juga mantan Menteri Besar Terengganu menyatakan, beliau berharap kerjasama antara BN dan PN benar-benar dapat dilaksanakan.

Tuan Guru mengulangi seruan supaya jentera PN dan BN saling membantu di kawasan masing-masing.

“Saya ulangi seruan sekali lagi supaya orang-orang PERIKATAN NASIONAL, PAS dan WAWASAN bekerja juga di kawasan Barisan Nasional, undi Barisan Nasional.

“Begitu juga orang Barisan Nasional bekerja kawasan yang PAS bertanding. Ini undi kawasan WAWASAN bertanding supaya kita mendapat kemenangan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan, arahan berkenaan adalah pendirian PAS dalam memastikan kerjasama itu berjalan dengan baik.

“Ini mesti (dipatuhi), ini arahan saya. Daripada PAS saya arah orang PAS kawasan Barisan Nasional undi Barisan Nasional dan bekerja untuk mereka.

“WAWASAN pun sama. Ini kerjasama, ini satu strategi yang baru yang kita atur insya-Allah,” katanya.

Langkah penyatuan

Dalam pada itu, Tuan Guru menjelaskan, usaha penyatuan orang Melayu dan kaum lain yang tidak ekstrem dilakukan PAS melalui pengambilalihan PN.

“Kita nak satu orang Melayu, nak satukan kaum lain lagi. Rumit kerjanya kita nak satukan. Tapi kita ambil dulu dalam perpecahan BERSATU.

“WAWASAN lebih besar daripada BERSATU yang asal. Maka PAS mengambil alih PERIKATAN NASIONAL menggabungkan WAWASAN,” imbas Tuan Guru.

Imbasan kerjasama PN-BN di N9

Tuan Guru berkata, Negeri Sembilan dianggap lebih mencabar berbanding Johor kerana kedudukan kerusi yang ada.

“Apabila Pakatan Harapan 17 kerusi, Umno 14 kerusi, Pakatan Harapan sudah memerintah Negeri Sembilan. Masyarakat majoritinya adalah orang Melayu. Ini bahaya.

“(Maka) Kami ambil langkah untuk buat undi kepercayaan melalui Dewan Negeri di mana 14 daripada Umno bergabung dengan lima daripada PERIKATAN NASIONAL. Tiga PAS dan dua BERSATU boleh tukar kerajaan.

“Malangnya dua daripada BERSATU, dia tarik. Gagal. Gagal. Terpaksalah kita buat pilihan raya,” jelas Tuan Guru.

PAS jaga gol di Johor

Beliau kemudian menjelaskan, pendekatan yang diambil PN di Johor berikutan kedudukan Umno yang kuat di negeri itu.

“Kami berfikir di Johor ni Umno kuat. Umno kuat boleh menang insya-Allah. Tapi bimbang takut Umno kalah di Johor. Lalu kami mengambil strategi biar Umno ada dalam barisan depan.

“Maka strategi yang kita ambil, bila kita kerah rakyat orang Melayu undi Barisan Nasional, orang PERIKATAN NASIONAL undi Barisan Nasional.

“Orang Melayu undi MCA, MCA undi Melayu, kita pilih bukan-Islam yang tidak ekstrem.

“Undi GERAKAN yang tak ekstrem. Tolak yang ekstrem. Langkah ini berjaya sehingga Barisan Nasional menang besar di Johor,” ulasnya.

Tuan Guru menjelaskan, ketiadaan kemenangan PAS di Johor ketika itu kerana peranan parti tersebut sebagai pasukan pertahanan.

“Orang tanya mengapa PAS kosong? PAS jaga gol, tak ada gol lah. PAS dengan WAWASAN jaga gol saja, tak ada gol lah itu.

“Adapun Negeri Sembilan lain kerana kita ada lima kerusi. Di mana Barisan Nasional ada 14 kerusi, keadaan kita ada (kekuatan).

“Strategi yang kita ambil ialah supaya kita ada pasukan penyerang sama, Barisan Nasional buat strategi pasukan yang lain,” ceritanya.

Tuan Guru menegaskan, pendekatan kerjasama dengan BN di Negeri Sembilan diambil berdasarkan kedudukan politik negeri tersebut. – HARAKAHDAILY 30/7/2026

- Advertisement -

- Advertisement -