Henti hukum Tabung Haji tanpa bukti jenayah kukuh

Retorik politik menyesatkan masyarakat terhadap TH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberikan penjelasan menyeluruh berhubung dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) serta menghentikan sebarang naratif politik yang menghukum institusi berkenaan tanpa bukti jenayah kukuh.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, walaupun beliau menyambut baik pendedahan laporan berkenaan demi ketelusan pengurusan amanah umat Islam, semua pihak perlu bersikap adil dan seimbang dalam menilai isu tersebut.

Beliau memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak terus menggunakan retorik politik yang menyesatkan masyarakat berhubung kedudukan kewangan institusi itu.

“Semua pihak perlu berhenti menggunakan istilah seperti ‘sakau RM10 bilion’ sebelum dapat menunjukkan bukti bahawa wang tersebut benar-benar dicuri, siapa penerimanya dan ke akaun mana ia dipindahkan.

“Defisit, rosot nilai aset dan kerugian pelaburan tidak boleh secara automatik disamakan dengan penyelewengan jenayah. RCI sendiri merekodkan bahawa penyata kewangan TH bagi tahun 2014 hingga 2017 telah menerima Sijil Audit Bersih daripada Jabatan Audit Negara.

“Bagi tahun 2017, terdapat Emphasis of Matter, tetapi pendapat Ketua Audit Negara bahawa penyata tersebut memberikan gambaran yang benar dan saksama tidak ditarik balik,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Beliau turut mempersoal tindakan mengaudit semula akaun TH menerusi firma swasta, PricewaterhouseCoopers (PwC), sedangkan Jabatan Audit Negara merupakan entiti rasmi yang mengaudit pelbagai agensi dan kementerian lain pada tempoh berkenaan.

“Laporan tersebut menerima kesimpulan PwC yang menggunakan pendekatan, parameter dan andaian penilaian yang berbeza. Oleh itu, kerajaan perlu menjelaskan mengapa penilaian firma swasta dianggap lebih muktamad berbanding audit institusi tertinggi negara.

“Mengapa hanya akaun Tabung Haji diaudit semula oleh PwC? Jika kaedah audit Jabatan Audit Negara benar-benar dianggap bermasalah, mengapa hanya Tabung Haji diaudit semula oleh sebuah firma swasta yang dibayar oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH)?

Mengapa tidak semua entiti kerajaan lain yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara turut diperiksa semula oleh PwC menggunakan parameter baharu yang sama?” soalnya.

Mengulas mengenai kronologi krisis kewangan TH, beliau mendedahkan bahawa defisit yang didakwa berjumlah RM4.1 bilion bagi tahun 2017 telah melonjak kepada sekitar RM10.9 bilion pada akhir 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran.

Namun begitu, pelan penstrukturan dan pemulihan serta prestasi syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), tidak merangkumi keseluruhan skop siasatan RCI.

Beliau mendedahkan UJSB masih mempunyai hutang sekitar RM25.85 bilion kepada TH, yang mana apabila sukuk pertama matang pada 29 Mei 2026, tanggungan itu gagal dilangsaikan secara tunai atau pemulangan aset, sebaliknya dilanjutkan tempoh matangnya selama 10 tahun lagi sehingga tahun 2036.

“Jumlah RM25.85 bilion itu bersamaan lebih satu perempat daripada keseluruhan aset TH. Pulangannya pula hanya sekitar 3.85 peratus hingga 4.10 peratus.

“Keadaan ini menjadi antara rintangan terbesar kepada usaha meningkatkan keuntungan TH, sekali gus mengehadkan keupayaannya untuk membayar perkongsian keuntungan melebihi 4 peratus dan menanggung bantuan kewangan haji yang lebih tinggi.

“Maka penilaian terhadap sejarah TH tidak boleh berhenti pada 9 Mei 2018, seolah-olah segala yang berlaku selepas tarikh itu tidak penting,” tegas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Ahmad Marzuk turut membangkitkan persoalan mengenai pemasaan (timing) pendedahan laporan RCI yang dibuat hanya beberapa hari menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sedangkan pertikainya, status laporan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat sejak 2018 dan 2019 masih belum diperjelaskan sepenuhnya oleh kerajaan.

Justeru, beliau menegaskan bahawa PAS menuntut siasatan yang telus dan benar-benar menyeluruh merangkumi sembilan perkara utama, termasuk alasan pengauditan semula oleh PwC, perbezaan kaedah audit, kerugian sepanjang 2018, prestasi UJSB, penangguhan sukuk, serta status terkini tindakan undang-undang.

“PAS tidak akan mempertahankan sebarang salah laku. Namun PAS juga tidak akan membenarkan institusi Islam dan reputasi individu dihukum melalui slogan tanpa bukti.

“Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas, dedahkan keseluruhan fakta, bentangkan status semua siasatan dan biarkan undang-undang menentukan siapa yang bersalah. Bukan ceramah politik. Bukan tajuk sensasi. Bukan ‘sakau’ tanpa pelaku,” tambah beliau.

RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat penemuan audit serta dakwaan kepincangan pengurusan kewangan dan pelaburan institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Isu ini mula memuncak selepas PRU-14 pada tahun 2018 apabila kerajaan PH memindahkan aset-aset bermasalah TH bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat SPV kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), bagi menterbalikkan kedudukan defisit jurang aset-liabiliti institusi berkenaan. – *HARAKAHDAILY 31/7/2026*

- Advertisement -
- Advertisement -