Pemimpin BERSATU takutkan bukan-Islam kepada PAS

Syahir Sulaiman bidas sikap Dr Radzi Jidin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman membidas tindakan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang mementaskan momokan ketakutan terhadap PAS kepada pengundi bukan-Islam.

Ahli Parlimen Bachok itu secara sinis meluahkan rasa terima kasih atas ‘kempen’ yang dijalankan oleh BERSATU khususnya oleh Ahli Parlimen Putrajaya tersebut, selain menyamakan pendirian parti Bunga Raya itu kini tidak berbeza dengan Pakatan Harapan (PH).

“Terima kasih ‘kempen’ PAS. Tanpa selindung, BERSATU sama dengan PH. Dengan hormat, YB Putrajaya asal Kelantan, patut lebih tahu. PAS memerintah Kelantan sejak 1990, masyarakat bukan-Islam (Cina, India, Siam) hidup aman damai. Harmoni.

“Termasuk di Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4), hak bukan-Islam kekal terpelihara,” katanya mengulas kempen Dr Radzi yang menuduh PERIKATAN NASIONAL (PN) digunakan oleh PAS untuk menunjukkan parti itu moderat.

Beliau malah mendakwa PAS menggunakan logo PERIKATAN NASIONAL kerana sekiranya PAS menggunakan logo parti sendiri bertanding pilihan raya, maka orang bukan-Islam tidak akan memberi sokongan undi kepada parti tersebut.

Sehubungan itu, Dr Radzi mengingatkan para pengundi bukan-Melayu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 bahawa mengundi PN adalah bersamaan mengundi PAS dan menyatakan mereka akan terjerat dengan politik kuasa jika mengundi PAS.

Syahir dalam ulas lanjutnya mempersoalkan tindakan pimpinan BERSATU yang masih menggunakan taktik menakut-nakutkan pengundi bukan-Islam terhadap PAS, sambil menyifatkan kaedah sedemikian sudah tidak relevan dan ketinggalan zaman.

“Entah mengapa, PAS ‘dimomokkan’ di Negeri Sembilan oleh BERSATU. Taktik menakutkan bukan-Islam terhadap PAS sudah ketinggalan zaman. DAP pun sudah tidak guna kaedah lapuk itu.

“Intelek seperti YB Putrajaya, saya harapkan bercakap soal dasar dan polisi. Kerja menyerang PAS, serahkan kepada J-KOM; melainkan ada hasrat hendak tukar kerjaya, saya ucapkan selamat maju jaya!” tegasnya.

Menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16, Syahir menggesa para pengundi di negeri berkenaan untuk menterjemahkan sokongan mereka menerusi kertas undi dengan memilih gabungan yang memperjuangkan penyatuan.

“Kepada pengundi Negeri Sembilan, ada dua pilihan. Tolak ‘Team Merah’ (Pakatan Harapan dan BERSATU), Undi ‘Team Biru’ (Perikatan Nasional-Barisan Nasional). Selamat mengundi!

“Cuti sekolah nanti, jemput datang Kelantan. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” katanya mengaju pelawaan kepada Dr Radzi. – HARAKAHDAILY 31/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -