
KOTA BHARU: Gabungan ilmu agama dengan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu membuka laluan baharu kepada pelajar pondok untuk membina masa depan dalam era pekerjaan berasaskan teknologi.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perubahan landskap pekerjaan dan teknologi hari ini menuntut lepasan pondok menguasai kemahiran baharu supaya mampu bersaing serta mencipta peluang pekerjaan sendiri.
“Pelajar-pelajar pondok sudah mempunyai ilmu agama yang cukup. Jadi, untuk melengkapkan lagi kehidupan mereka, TVET membuka ruang sekali gus memberi nilai tambah kepada masa depan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Akademi Cemerlang TeknoVocasX (ACTVX) Kelantan, di sini semalam.
Menurut beliau, pada masa lalu kebanyakan lepasan pondok bekerja sendiri mengikut keperluan semasa, namun perkembangan teknologi telah mengubah corak pekerjaan.
“Dulu, kebanyakan lepasan pondok bekerja sendiri mengikut keperluan ketika itu. Sekarang bentuk pekerjaan telah berubah dengan perkembangan teknologi, maka mereka juga perlu menguasai kemahiran baharu,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri menggalakkan lebih ramai pelajar pondok menyertai bidang TVET sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Menurutnya, penubuhan Akademi Cemerlang TeknoVocasX merupakan satu lagi penambahan institusi TVET di Kelantan yang akan memperluaskan akses pendidikan kemahiran kepada rakyat negeri ini.
“Ini memberi peluang yang lebih besar kepada rakyat Kelantan untuk mengikuti TVET. Hari ini, bidang akademik semata-mata tidak lagi menjanjikan masa depan yang lebih luas kerana ruang pekerjaan semakin mengecil.
“Kita perlu membuka ruang dan mencipta peluang pekerjaan, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat. Sebab itu saya mahu seramai mungkin rakyat Kelantan memanfaatkan peluang dalam bidang TVET,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/7/2026











