Kutipan sampah ikut jadual, jangan buat penilaian awal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai diminta tidak membuat penilaian awal terhadap perkhidmatan kutipan sampah dengan menyebarkan gambar longgokan sampah sebelum tiba jadual kutipan yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan itu boleh menimbulkan persepsi yang tidak tepat terhadap prestasi perkhidmatan kebersihan di negeri ini.

- Advertisement -

“Isu sampah sentiasa dibangkitkan. Walau bagaimanapun, kerja kerja kutipan sampah adalah mengikut jadual. Kita menerima aduan tersebut dan mengharapkan kerjasama orang awam untuk mengikut jadual.

“Namun, adalah tidak adil sekiranya gambar diambil semasa sampah belum dikutip,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil maklum setiap aduan berkaitan kelewatan kutipan sampah dan akan memastikan syarikat serta pihak dipertanggungjawabkan melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

Tambahnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan membuang sampah ke dalam tong yang disediakan serta bersama sama menjaga kebersihan negeri.

“Jangan anggap sampah kita hanya perlu dikutip orang lain. Kita juga perlu bertanggungjawab membuang sampah ke dalam tong disediakan dan tidak membuangnya di luar kerana ia boleh diselerakkan haiwan serta menjejaskan imej negeri.

“Selaras dengan moto Kelantan Bersih, Indah dan Ceria, kebersihan adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.

Mengulas cadangan kutipan sampah dari rumah ke rumah, beliau berkata, perkara itu boleh dikaji pada masa hadapan, terutama di kawasan bandar dan taman perumahan.

“Perkara ini boleh dikaji, namun pelaksanaannya mungkin perlu dibuat secara berperingkat kerana melibatkan kos yang tinggi serta keadaan perumahan di kawasan kampung yang berselerak,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2026

- Advertisement -