
MARANG: PAS akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan sasaran untuk menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya lalu.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi parti yang sebelum ini di mana berjaya menawan tiga kerusi di negeri berkenaan.
“Insya-Allah kita tunggu dan lihat. Kita akan bertanding di Negeri Sembilan. Kita sudah menang tiga kerusi sebelum ini dan menyasarkan untuk menambah lagi kerana di sana terdapat banyak kerusi yang mencatatkan majoriti tipis, lebih kurang dalam seribu undi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kuliah Dhuha mingguan di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa pada hari ini.
Pembubaran DUN itu dikatakan dibuat mengikut lunas peraturan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan.
PRN ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.
PH memenangi 17 kerusi diikuti BN dengan 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula lima kerusi. – HARAKAHDAILY 5/6/2026











