
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menzahirkan solidariti dan rasa simpati terhadap dua Ahli Parlimen kerajaan daripada PKR yang dilaporkan telah disekat akses peruntukan kawasan mereka.
Dua wakil rakyat terbabit ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang dikatakan tidak lagi dapat mengakses portal pengagihan dana meskipun masih bergelar Ahli Parlimen blok kerajaan.
Syahir memaklumkan, tindakan menyekat portal MyKhas yang diselenggara oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dinamika politik dalaman parti berkenaan.
“Terdahulu, MP Subang YB Wong Chen mendakwa akses ke portal MyKhas yang diselenggara oleh ICU JPM bagi mengagihkan peruntukan kawasan dan projek mesra rakyat, telah disekat pada 22 Mei.
“Terbaharu, MP Petaling Jaya YB Lee Chean Chung turut memaklumkan beliau tidak lagi dapat mengakses portal MyKhas sejak 29 Mei.
“Difahamkan tindakan tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan kehadiran mereka berdua pada majlis pelancaran parti baharu yang diasaskan oleh dua bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi pada 17 Mei,” katanya.
Isu peruntukan kawasan Parlimen di bawah Kerajaan Madani menyaksikan Ahli Parlimen blok pembangkang tidak diberikan peruntukan seperti Ahli Parlimen blok kerajaan.
Sebaliknya dana disalurkan menerusi agensi Persekutuan atau pegawai penyelaras yang dilantik.
Bagaimanapun, tindakan menyekat akses portal agihan dana bantuan atau MyKhas terhadap Ahli Parlimen daripada parti komponen kerajaan sendiri merupakan satu perkembangan terbaharu.
Ia sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai keretakan hubungan dalaman parti pemerintah pasca-penubuhan wadah politik baharu oleh bekas pemimpin utama parti tersebut.
Rakyat jadi mangsa sekatan dana
Syahir turut menyatakan kebimbangan terhadap nasib penduduk di kawasan Petaling Jaya dan Subang yang bakal terjejas daripada menerima bantuan kebajikan, selain mendedahkan situasi sama dipercayai telah menimpa dua kawasan lain lebih awal.
“Saya turut bersimpati dengan penduduk di kedua-dua kawasan tersebut yang bakal kehilangan akses kepada bantuan dan projek yang selama ini dinikmati.
“Juga simpati saya kepada penduduk di Pandan dan Setiawangsa yang dipercayai telah menerima nasib yang sama lebih awal,” jelas beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.
Bagaimanapun, Syahir menarik perhatian bahawa Ahli Parlimen kerajaan terbabit masih dianggap beruntung kerana sempat menikmati peruntukan tahunan jutaan ringgit berbanding mereka di blok pembangkang.
“Bezanya, kalian Ahli Parlimen kerajaan lebih beruntung. Sempat juga menikmati peruntukan RM3.75 juta setahun, atau lebih RM11 juta sepanjang tempoh tiga tahun.
“Sedangkan kami Ahli Parlimen pembangkang, dan sekalian penduduk di kawasan kami, tidak pernah menerima sebarang peruntukan seumpama itu sejak PRU15,” katanya lagi.
Tolak amalan jadikan peruntukan alat politik
Menurut Syahir, permohonan yang paling kerap diterima oleh setiap wakil rakyat melibatkan perkara asas komuniti seperti bantuan kebajikan, pendidikan, kesihatan, persatuan, serta projek-projek kecil tempatan.
Oleh itu, beliau menegaskan dana mesra rakyat sewajarnya disalurkan secara adil kepada kesemua 222 kawasan Parlimen tanpa prejudis politik memandangkan setiap ringgit perbelanjaan tertakluk kepada audit kerajaan yang ketat.
“Inilah realiti yang dihadapi oleh setiap wakil rakyat, sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang. Sewajarnya, peruntukan mesra rakyat disalurkan secara adil dan saksama kepada seluruh rakyat di semua 222 kawasan Parlimen tanpa mengira perbezaan politik.
“Malah, setiap butiran perbelanjaan adalah tertakluk kepada pekeliling kewangan dan audit kerajaan, maka tidak timbul soal penyelewengan mahupun pembaziran di pihak Ahli Parlimen pembangkang.
“Walau apa pun alasannya, amatlah malang apabila peruntukan kawasan dan projek mesra rakyat telah dijadikan alat politik untuk mengugut dan memberi tekanan kepada Ahli Parlimen yang memilih haluan berbeza,” tegas beliau.
Di kenyataannya itu, Syahir turut mengemukakan persoalan besar kepada Perdana Menteri mengenai status dan kedudukan dana kawasan pembangkang yang tidak disalurkan sepanjang tempoh tiga tahun ini.
“Namun persoalan utama yang perlu dijawab oleh Perdana Menteri ialah ke manakah peruntukan bagi kawasan pembangkang yang dianggarkan berjumlah RM765 juta sepanjang tiga tahun ini telah dibelanjakan atau dialihkan?” soalnya.











