PAS sahkan hasrat bertanding pada PRN Johor ke-16

- Advertisement -

MARANG: PAS mengesahkan hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang bakal diadakan, namun jumlah kerusi bakal ditandingi masih belum diputuskan lagi.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan meneliti pelbagai aspek termasuk kekuatan pengaruh, peluang kemenangan dan kesesuaian calon sebelum membuat keputusan muktamad.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, satu taklimat khas berhubung persiapan PRN Johor akan dibentangkan kepada kepimpinan PAS pada Isnin depan.

“Kita sedang mengkaji. Insya-Allah hari Isnin ini kita akan dengar taklimat daripada pilihan raya negeri Johor. Satu persatu kita dengar taklimat dahulu, selepas itu akan dibuat keputusan bagaimana langkah yang akan diambil.

“Pada dasarnya kita akan bertanding, tetapi akan dilihat dari segi pengaruh kita, peluang untuk berkempen dan calon-calon yang sesuai.

“Alhamdulillah, PAS hari ini mempunyai ramai tokoh yang boleh diketengahkan sebagai calon,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kuliah Dhuha, di sini,hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun bagi memberi laluan kepada PRN selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh hingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.

Mengulas mengenai agihan kerusi, Tuan Guru berkata, perbincangan mengenainya masih belum dimuktamadkan meskipun terdapat cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini.

“Belum muktamad lagi. Itu pandangan sahaja, belum muktamad sepenuhnya,” katanya yang juga bekas Duta Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Ditanya sama ada PAS akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Johor nanti, beliau berkata perkara itu bergantung kepada pertimbangan semasa dan strategi parti.

“Tidak semestinya. Kita akan lihat kewajaran,” ujarnya yang juga bekas Naib Ketua Ulama Islam Sedunia.

Mengenai kemungkinan PAS bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) atau menggunakan platform lain, beliau berkata perkara itu masih dalam penelitian.

“Itu akan dikaji lagi. Mana yang lebih baik, kita bertanding. Kita lihat pada pertimbangan yang terbaik,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2026

- Advertisement -