Tuan Guru nafi terbabit pertemuan PAS dengan Umno

- Advertisement -

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menafikan beliau ada terbabit dalam pertemuan antara beberapa pemimpin PAS dan Umno yang dikatakan berlangsung malam tadi.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengesahkan telah dimaklumkan mengenai pertemuan berkenaan di mana disifatkannya sebagai perkara biasa dalam hubungan politik.

- Advertisement -

“Pertemuan biasa. Kita berjumpa dengan sesiapa sahaja, kalau orang nak jumpa kita, kita jumpa. Saya tidak terlibat, tetapi saya dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan bahawa pertemuan itu bertujuan menghidupkan semula kerjasama menerusi Muafakat Nasional, Tuan Guru berkata ia hanya satu pandangan yang perlu dilihat dalam konteks lebih luas.

Menurutnya, PAS tetap berpegang kepada konsep penyatuan umat Islam dan orang Melayu sebagai teras kepimpinan negara, di samping memastikan kepentingan masyarakat bukan Islam turut diberi perhatian.

“Konsep kita yang pertama ialah menyatukan orang Melayu-Islam. Melayu-Islam mesti memimpin negara. Yang kedua, wajib bersama masyarakat majmuk bukan Islam. Mereka tidak boleh ditinggalkan,” katanya.

Menurut beliau, sebarang usaha memperkukuh penyatuan umat Islam tidak hanya membabitkan parti-parti politik Melayu-Islam, malah turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan individu berpengaruh dalam masyarakat.

“Antaranya kita melibatkan bukan sahaja parti-parti Melayu-Islam, termasuk NGO-NGO Islam serta kalangan yang berpengaruh dalam masyarakat Islam. Kita ambil kira semua,” katanya.

Ditanya sama ada PAS bersedia menerima penyertaan mana-mana parti dalam gagasan berkenaan, Tuan Guru berkata, perkara itu akan dinilai berdasarkan kekuatan dan pengaruh pihak terbabit.

“Kita akan lihat kepada kekuatan dan pengaruh. Kita juga kena sedar ada kawasan yang kita menang dengan majoriti tipis, malah pernah berlaku kemenangan dengan hanya dua undi.

“Sebab itu kita akan mengambil kira tokoh-tokoh yang berpengaruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2026

- Advertisement -