
MARANG: Kedudukan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan oleh parti-parti komponen gabungan itu dalam mesyuarat yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada minggu depan.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sebarang keputusan berkaitan status keanggotaan sesebuah parti dalam PN perlu dibuat mengikut peruntukan perlembagaan gabungan tersebut.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, keputusan itu tidak boleh dibuat secara unilateral sebaliknya memerlukan persetujuan majoriti parti anggota.
“Insya-Allah tunggu kita akan mesyuarat hari Rabu ini. Mengikut perlembagaan, ia mesti majoriti parti anggota buat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita di Rusila selepas Kuliah Dhuha, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa PAS berhasrat menyingkirkan BERSATU daripada PN susulan perkembangan terkini hubungan antara kedua-dua parti.
Mengulas lanjut, Tuan Guru yang juga bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, perkara itu terpulang kepada pendirian parti-parti rakan dalam gabungan berkenaan.
“Terpulang kepada parti-parti rakan lain,” katanya yang terdahulu mengumumkan PAS menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta pada 8 Jun lalu.
Pada masa sama, beliau mengesahkan PAS telah memutuskan hubungan dengan BERSATU walaupun parti itu masih merupakan ahli PN ketika ini.
“Kita sebagai pengerusi. BERSATU masih ahli dan kita sudah putus dengan BERSATU,” kata beliau menjawab pertanyaan media di menemuinya di pekarangan masjid itu.
Mengulas mengenai BERSATU menafikan bahawa pihaknya bukan penghalang kemasukan parti-parti lain ke dalam PN, kata beliau, perkara tersebut tidak benar.
Sebaliknya Tuan Guru berkata, PAS sebelum ini telah mengemukakan beberapa cadangan penyertaan parti dan pertubuhan lain, namun tidak dipersetujui oleh BERSATU.
“Kita dah kemukakan nama-nama ini. Kita setuju, BERSATU kata tak setuju. BERSATU kata duduk luar sahaja, jadi penyokong di luar termasuk PEJUANG, IMAM, BERJASA dan MIC pun termasuk juga,” katanya.
Ditanya sama ada PAS akan menarik gerakan RESET daripada Dato’ Seri Hamzah Zainudin untuk bersama PN, Tuan Guru berkata, perkara tersebut akan diteliti terlebih dahulu.
“Kita akan tengok, sebab kita nak libatkan orang Melayu-Islam seramai-ramainya termasuklah bukan Islam yang ekstrem, MIC, sebagaimana yang minta nak jadi ahli,” katanya.
Pada 8 Jun, Harakahdaily melaporkan melaporkan PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, demikian umum Tuan Guru Abdul Hadi.
Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS.
Tuan Guru memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.
Dalam masa sama, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penyertaan PAS dalam PRN16 Johor
Sementara itu, Tuan Guru berkata, PAS masih belum membuat keputusan mengenai pendekatan yang akan diambil bagi menghadapi PRN Johor akan datang.
Menurut beliau, pimpinan parti setakat ini hanya menerima taklimat awal daripada PAS Johor dan perbincangan lanjut akan dibuat selepas mesyuarat yang sama pada Rabu ini.
“Kita masih belum buat keputusan lagi. Dengar taklimat daripada PAS Johor, taklimat awal sudah kita terima. Yang terperinci belum lagi. Jadi kita akan bincang hari Rabu,” katanya ketika ditanya sama ada PAS akan bergerak secara solo atau sebaliknya pada PRN Johor. – HARAKAHDAILY 12/6/2026


















