PAS, PN disyor kemuka lima agenda baharu nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS dan Perikatan Nasional (PN) dicadang agar menggariskan lima agenda bertaraf nasional merangkumi reformasi struktur pendidikan, sistem kesihatan, perpaduan dan penguatkuasaan ekonomi.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Prof Dr Haim Hilman Abdullah mengemukakan syor itu bertujuan bagi memacu masa depan negara Malaysia yang lebih mampan dan adil untuk seluruh rakyat.

Beliau berkata langkah proaktif itu perlu diketengahkan pasca penilaian antarabangsa dan domestik yang menunjukkan petunjuk membimbangkan dalam sektor modal insan serta pasaran buruh negara.

Beliau menarik perhatian terhadap kemerosotan prestasi pelajar Malaysia dalam Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 serta isu ketidakpadanan pekerjaan (underemployment) yang sehingga kini masih membelenggu ratusan ribu graduan universiti.

Laporan rasmi PISA 2022 mendedahkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam subjek kritikal iaitu Matematik, Sains dan Bacaan mengalami penurunan ketara berbanding penilaian tahun-tahun sebelumnya.

Di peringkat pengajian tinggi pula, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara konsisten melaporkan cabaran kadar kebolehpasaran graduan serta fenomena gunatenaga yang tidak penuh.

Isu rantaian ini diburukkan lagi dengan tekanan sistem kesihatan awam berikutan migrasi keluar (brain drain) tenaga perubatan ke luar negara atau sektor swasta akibat isu skim perkhidmatan, selain polemik sosial isu kebanjiran perniagaan warga asing tanpa izin.

Rombak kurikulum sekolah dan sektor TVET

Dr Haim Hilman menjelaskan, keputusan PISA 2022 membuktikan penguasaan akademik pelajar tempatan masih berada di bawah purata unjuran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

“Keputusan PISA 2022 menunjukkan pelajar Malaysia masih berada di bawah purata OECD dalam Matematik, Sains dan Bacaan. Hanya 41 peratus pelajar Malaysia mencapai tahap minimum kecekapan Matematik berbanding purata OECD sebanyak 69 peratus.

“Skor Matematik Malaysia ialah 409 berbanding purata OECD 472, manakala skor Bacaan Malaysia ialah 388 berbanding purata OECD 476.

“Lebih membimbangkan, penilaian OECD terhadap pemikiran kreatif menunjukkan pelajar Malaysia memperoleh skor 25 daripada 60 berbanding purata OECD 33,” dedah beliau.

Bagi mengatasi kemelut itu, PAS dan PN katanya, boleh menawarkan enam pendekatan strategik dalam sistem pendidikan asas meliputi reformasi kurikulum berasaskan kemahiran masa depan, bukan hafalan semata-mata.

Beliau turut menggariskan saranan agar menjadikan AI, pengaturcaraan, data dan literasi digital sebagai kemahiran asas nasional serta menjalankan program pemulihan literasi dan numerasi nasional untuk semua murid yang tercicir.

Selain menambah sekolah TVET berprestij setanding sekolah berasrama penuh; mengembalikan fokus kepada pembinaan akhlak, disiplin dan patriotisme, serta menetapkan KPI sekolah berdasarkan penguasaan kemahiran, bukan hanya keputusan peperiksaan.

Semak program kebolehpasaran

Menyentuh sektor pendidikan tinggi, beliau mendedahkan lambakan graduan yang terperangkap dalam krisis pengangguran dan isu pembiayaan yuran pendaftaran bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

“Malaysia mempunyai hampir 6 juta graduan. Namun statistik menunjukkan isu padanan pekerjaan masih serius. Menurut DOSM, terdapat 165,900 graduan menganggur pada tahun 2024.

“Lebih membimbangkan, sekitar 1.6 juta graduan bekerja dalam pekerjaan yang tidak memerlukan kelayakan yang mereka miliki, manakala lebih satu pertiga graduan berada dalam kategori ‘underemployment’.

“Ini bermakna negara membelanjakan berbilion ringgit untuk pendidikan tinggi, tetapi sebahagian besar bakat tidak digunakan secara optimum.

“Pada masa sama, ramai pelajar daripada keluarga B40 masih berdepan kesukaran menyediakan yuran pendaftaran universiti yang boleh mencecah RM1,000 hingga RM3,000,” jelasnya.

Sebagai formula penyelesaian, beliau menggariskan lapan tawaran utama boleh dikemukakan merangkumi pelaksanaan konsep ‘Tiada Pelajar Tercicir Kerana Miskin’ dan audit nasional berkala setiap lima tahun ke atas program akademik IPTA/IPTS.

Turut digesa bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu agar mengecilkan program ijazah bersesuaian daripada empat tahun kepada tiga tahun bagi menjimatkan kos fiskal.

Fokus pelaburan juga digesanya agar beralih kepada sektor digital kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, robotik, keselamatan siber, dan teknologi makanan di samping mewajibkan latihan industri berbayar.

Sektor kesihatan hilang tenaga pakar

Sektor kesihatan awam turut dilaporkan kritikal apabila statistik antara tahun 2022 hingga 2024 mencatatkan seramai 705 doktor dan 1,394 jururawat berpengalaman telah meletakkan jawatan daripada menyertai skim Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pada masa yang sama, hospital kerajaan terus berhadapan kesesakan dan tempoh menunggu yang panjang. Kementerian Kesihatan sendiri mengakui isu kekurangan doktor dan pakar sebagai cabaran besar yang memerlukan tindakan segera,” ujar beliau.

Bagi membendung isu lambakan masa menunggu pesakit, PAS dan PN dicadang mengemukakan Pelan Nasional Mengekalkan Doktor dan Jururawat, menaikkan elaun kritikal, mempercepat fasiliti klinik baharu, serta memanfaatkan teknologi AI dalam pengurusan hospital.

Lambakan aktiviti haram warga asing

Dalam aspek keharmonian sosial dan keselamatan domestik, Dr Haim Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra menegaskan perpaduan berkait rapat dengan kestabilan ekonomi.

Beliau selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Kedah menuntut penguatkuasaan mutlak tanpa kompromi ke atas mana-mana pihak yang mengeksploitasi media sosial bagi menghina institusi agama dan kaum.

Mengenai isu lambakan pendatang asing, beliau menjelaskan bahawa tindakan kawalan ketat bukan berasaskan sentimen xenofobia, melainkan demi menegakkan keadilan ekonomi buat pembayar cukai tempatan.

“Isu ini bukan soal kebencian terhadap warga asing tetapi soal keadilan kepada rakyat Malaysia yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai,” ulas Dr Haim Hilman lagi.

Beliau turut menggariskan tawaran berupa penguatkuasaan menyeluruh ke atas premis haram warga asing, sekatan sektor ekonomi tertentu, serta pemerkasaan pembiayaan usahawan tempatan.

Beliau merumuskan bahawa Malaysia mempunyai segala potensi strategik untuk muncul sebagai gergasi ekonomi Asia Tenggara sekiranya kepimpinan negara mempunyai keberanian melakukan reformasi struktur secara menyeluruh.

“Jika agenda ini dapat dilaksanakan dengan integriti, konsisten dan keberanian politik, Malaysia bukan sahaja mampu maju dari segi angka ekonomi, tetapi juga menjadi negara yang adil, sejahtera dan bermaruah untuk semua rakyatnya,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -