Lulus 1,000 hektar ladang kelapa komersial di Setiu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu meluluskan secara dasar kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar di Sungai Tong, Setiu untuk dibangunkan sebagai ladang kelapa komersial dalam usaha memperkukuh sektor agromakanan dan meningkatkan pengeluaran komoditi berkenaan di negeri itu.

Projek berimpak tinggi tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn Bhd (MKIC), syarikat usaha sama antara Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan pihak berkuasa Kerajaan Kuwait.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, rundingan kini berada pada peringkat akhir bagi memuktamadkan terma utama perjanjian antara kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, pembangunan ladang itu dijangka meningkatkan pengeluaran kelapa negeri, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta membuka ruang pemindahan teknologi pertanian moden kepada rakyat Terengganu.

“Melihat kepada rekod prestasi dan kejayaan MKIC membangunkan ladang kelapa seluas 2,000 hektar di Semporna, Sabah yang merupakan ladang kelapa terbesar di Borneo kami yakin dengan kemampuan syarikat ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat susulan di Pejabat MKIC, di sini.

Azman berkata, kerjasama tersebut bukan dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya melalui beberapa siri perbincangan dan lawatan tapak yang bermula sejak penghujung tahun lalu.

Tambah beliau, pada April lalu, delegasi kerajaan negeri turut mengadakan lawatan kerja ke Ladang Nagus milik MKIC di Semporna bagi meninjau operasi penanaman varieti kelapa premium seperti Matag, Tacunan dan Nagus Dwarf.

Katanya, kerajaan negeri komited mempermudah segala urusan berkaitan permohonan tanah di lokasi yang dipersetujui bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

“Langkah seterusnya akan disusuli dengan perbincangan lanjut di peringkat teknikal bagi memperincikan aspek perancangan perniagaan serta terma-terma komersial.

“Kami sangat mengalu-alukan pelaburan ini demi memacu sektor komoditi negeri ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, MKIC merupakan syarikat yang mempunyai portfolio dalam sektor perladangan dan pemprosesan minyak sawit, penternakan ayam serta perladangan kelapa berskala besar. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -