Ibu derma hati demi selamatkan anak

Mohd Huzaimy ketika menyantuni adik Hawa Maisarah dan ibunya, Nur Rahmatina Hajida.
- Advertisement -

BACHOK: Pengorbanan seorang ibu demi menyelamatkan nyawa anaknya yang menghidap penyakit hati sejak lahir menyentuh hati ramai apabila sanggup mendermakan sebahagian daripada hatinya untuk memberi peluang kedua kepada si kecil itu meneruskan kehidupan.

Adik Hawa Maisarah Mohd Abdul Muiz yang kini berusia setahun 10 bulan disahkan menghidap biliary atresia, iaitu masalah saluran hempedu yang menyebabkan kerosakan hati.

- Advertisement -

Selain itu, Hawa turut mengalami masalah pada pankreas yang menyebabkan bahagian perutnya membesar daripada keadaan biasa.

Ibunya, Nur Rahmatina Hajida Norisyam, 25, berkata masalah hati itu dikesan sejak Hawa berusia sebulan, namun rawatan lanjut ketika itu belum dapat diteruskan kerana faktor usia yang masih terlalu kecil.

“Pada peringkat awal, kami tangguhkan rawatan kerana Hawa masih bayi, tetapi keadaannya semakin kronik.

“Perutnya semakin membesar dan kulit serta mata turut menjadi kekuningan,” katanya.

Hawa kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Oktober tahun lalu kerana kemudahan kepakaran gastroenterologi pediatrik tidak terdapat di Kelantan.

Menurut Nur Rahmatina, anaknya tidak dapat terus dibawa mendapatkan rawatan di Shanghai, China kerana perlu memenuhi beberapa syarat termasuk mencapai berat badan sesuai dan berada dalam keadaan stabil.

“Lebih kurang tiga bulan Hawa dirawat di PPUM sebelum dibenarkan ke China,” ujarnya.

Sebelum pemindahan hati dilakukan, Hawa terlebih dahulu menjalani pembedahan pankreas bagi membuang ketumbuhan pada organ berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan dua pembedahan besar terpaksa dilalui iaitu pembedahan pankreas dan pemindahan hati.

Pada awalnya keluarga tersebut merancang membuka tabung bagi mengumpul dana sebanyak RM200,000 melalui bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Nadi Permata Malaysia bagi menampung kos rawatan di Shanghai, China.

Namun rezeki memihak kepada Hawa menerusi dana yang dikumpulkan oleh keluarga seorang lagi kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan diserahkan kepada mereka.

“Kami berada dalam wad yang sama dan ibu kepada kanak-kanak itu menyatakan hasrat untuk menyerahkan sumbangan tersebut kepada Hawa,” katanya.

“Alhamdulillah, kami tidak sempat membuka tabung kerana semuanya dipermudahkan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Hawa telah berangkat ke Shanghai pada 27 Disember tahun lalu sebelum menjalani pembedahan pada 7 Januari 2026.

“Tarikh itu akan terpahat dalam perjalanan hidup keluarga kecil kami. Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar,” katanya.

Dalam pembedahan itu, Nur Rahmatina sendiri menjadi penderma kepada anaknya.

“Doktor hanya mengambil kira-kira 10 peratus daripada hati saya untuk dipindahkan kepada Hawa,” ujarnya.

Sepanjang tempoh rawatan, keluarga itu berada di China lebih sebulan dan Hawa turut memerlukan alat bantuan pernafasan sehingga mereka ditemani doktor pengiring dari Malaysia.

Kini keadaan Hawa semakin menunjukkan perkembangan positif walaupun dos ubat perlu dipantau dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Hawa juga perlu menjalani rawatan susulan di Kuala Lumpur setiap dua minggu sekali.

Nur Rahmatina berkata ketika anaknya sakit dahulu, Hawa bergantung kepada susu khas yang menelan kos kira-kira RM100 bagi setiap 100 gram.

Walaupun berdepan pelbagai ujian, beliau bersama suami, Mohd Abdul Muiz Mohd Jasnim, 32, terus tabah demi melihat anak mereka membesar seperti kanak-kanak lain.

“Kami hanya mahu Hawa sihat dan dapat menikmati kehidupan seperti biasa,” katanya.

Kisah mereka turut mendapat perhatian ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin yang semalam bersama penghulu berkesempatan menziarahi Hawa sebelum ke Kuala Lumpur bagi rawatan susulan.

Pada pertemuan itu beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Nur Rahmatina bagi membantu perbelanjaan rawatan.
“Alhamdulillah, syukur kerana adik Hawa semakin sihat dan kita berdoa semoga dia dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Nur Rahmatina turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu termasuk para penderma, NGO Nadi Permata Malaysia, kakitangan perubatan di PPUM dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), ahli keluarga, saudara-mara serta orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan anaknya.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa bersama kami sama ada melalui sumbangan, bantuan, sokongan mahupun doa. Segala kebaikan yang diberikan amat kami hargai dan tidak mampu dibalas,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -