
ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) kuat kerana PAS, demikian tegas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ditanya berkenaan kedudukan PAS dalam PN setakat ini.
Menurut beliau, PAS bagaimanapun akan mengadakan mesyuarat pada hari ini bagi memuktamadkan sama ada terus bersama PN atau tidak selepas ini, namun beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat itu.
“Tetapi bagi pandangan saya, sekiranya ada koalisi yang lebih besar dan baik, PAS boleh saja ke koalisi yang lebih baik itu,” kata beliau ketika ditemui di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Menurut Sanusi lagi, keputusan yang diputuskan oleh PAS Pusat untuk menghentikan kerjasama politik bersama BERSATU, dibincang dan diperhalusi dengan sebaiknya di dalam mesyuarat.
“Mesyuarat Majlis Syura Ulama, dua kali. Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat setiap minggu, ada kalanya dua kali seminggu. Termasuk juga Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang diadakan dua hingga tiga kali.
“Kerana keputusan ini (henti kerjasama dengan BERSATU) adalah perkara besar. Kita bincang, perhalusi dan dilumatkan. Dalam PAS (kaki) bukan robot, macam parti tu.. robot,” tambahnya lagi.
Beliau turut menjelaskan, di dalam PAS semua keputusan dibuat oleh pemimpin, bukan ahli bawahan dan pemimpin juga ‘guardian’ atau pelindung, termasuk semua dasar ditentukan oleh pimpinan.
“Rasanya semua macam itu, pemimpin yang menjadi ‘guardian’ kepada parti dan dasar ditentukan oleh pimpinan. Bukannya datang dari bawah,” kata beliau lagi.
Beliau turut diminta media menyentuh berkenaan kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang masih dikekalkan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) di Kedah.
Sanusi yang juga Menteri Besar memaklumkan, keputusan itu dipersetujui sebulat suara sehinggalah ada perubahan ataupun keputusan baharu.
“Hari ini dua EXCO BERSATU tu, hadir mesyuarat Exco. Dua orang bekas BERSATU yang dipecat pun saya tak pecat. Saya ‘maintain’, istiqamah dan konsisten, siapa yang kerja baik. Sila duduk (kekal),” tegasnya.
Semalam Sanusi mengesahkan dua EXCO dari BERSATU iaitu Dato’ Halimaton Shaadiah Saad dan Dato’ Mohd Salleh Saidin terus menerajui portfolio masing-masing dan menjalankan tugas seperti biasa.
Malah keputusan menghentikan kerjasama dengan BERSATU dikeluarkan PAS Pusat kelmarin, juga tidak menjejaskan kedudukan ahli BERSATU yang dilantik dalam pelbagai jawatan di negeri ini.
Beliau merujuk jawatan Ahli Majlis Daerah, Pengerusi atau Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK), mahupun pegawai lantikan politik dan lain-lain berkaitan. – HARAKAHDAILY 10/6/2026
















