
JIKA benar BERSATU mahu mencari punca mengapa hubungan politik dengan PAS akhirnya sampai ke penghujung jalan, parti itu sepatutnya tidak menuding jari kepada PAS. Sebaliknya, mereka perlu berani melihat cermin dan menilai kelemahan sendiri yang semakin hari semakin terserlah di hadapan rakyat.
Antara episod paling sukar dilupakan ialah krisis politik di Perlis yang menyaksikan gerakan menjatuhkan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli. Ramai melihat tindakan itu sebagai antara bentuk pengkhianatan politik paling jelas terhadap PAS. Nama Abu Bakar Hamzah sering dikaitkan sebagai arkitek utama gerakan tersebut. Lebih memeritkan, krisis itu bukan sahaja menggugat kerajaan negeri malah menyebabkan tiga pemimpin PAS kehilangan keahlian dan jawatan mereka secara automatik.
Apa yang menimbulkan persoalan ialah mengapa dalang utama krisis tersebut tidak dikenakan tindakan tegas oleh BERSATU? Sebaliknya pimpinan tertinggi parti itu dilihat seolah-olah merestui perkembangan tersebut dan meraikan kejayaan BERSATU merampas jawatan Menteri Besar. Alasan kononnya Istana Perlis terlibat dalam proses tersebut tidak mampu menjawab persoalan pokok mengenai peranan sebenar pihak yang mencetuskan krisis itu sejak awal.
Di Negeri Sembilan pula, PAS melihat tindakan dua ADUN BERSATU menarik balik sokongan dalam kemelut politik negeri sebagai satu lagi episod yang menimbulkan tanda tanya besar mengenai tahap komitmen parti itu terhadap rakan gabungan. Pendirian BERSATU menggambarkan ketidaksefahaman dalam PN di Negeri Sembilan.
Pada masa sama, beberapa pemimpin kanan BERSATU dilihat lebih gemar menyerang rakan sendiri berbanding musuh politik sebenar. Ketua Penerangan BERSATU Malaysia misalnya sering menggunakan platform rasmi parti untuk mengulas secara terbuka isu dalaman, mengkritik rakan seperjuangan dan menghantar mesej negatif kepada PAS. Sedangkan pelbagai isu melibatkan PH, DAP dan kerajaan pusat yang jauh lebih besar jarang diberikan tumpuan yang setara.
Keadaan itu hanya memperlihatkan betapa seriusnya masalah dalaman BERSATU. Daripada 31 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU15, parti itu kehilangan enam Ahli Parlimen yang beralih sokongan kepada kerajaan. Kemudian berlaku pula gelombang lebih besar apabila 19 Ahli Parlimen dikaitkan dengan kem Hamzah Zainudin sehingga kedudukan parti menjadi semakin rapuh. Krisis demi krisis ini menggambarkan bahawa masalah sebenar bukan datang daripada PAS tetapi berpunca daripada kegagalan kepimpinan BERSATU mengurus organisasi sendiri.
Lebih mengecewakan, PAS yang cuba membuka ruang memperkukuhkan PN melalui penyertaan parti-parti lain turut berdepan tentangan daripada BERSATU. Cadangan untuk memperluaskan gabungan politik dilihat disekat kerana kebimbangan terhadap pembahagian kerusi dan kemungkinan kem baharu mendapat tempat dalam gabungan tersebut.
Dalam keadaan kekuatan sendiri semakin mengecil, sesetengah pemimpin BERSATU pula dilihat mengambil pendekatan ‘kaduk naik junjung’ terhadap PAS. Parti PAS yang memiliki jentera akar umbi terbesar dalam PN, pengalaman pilihan raya puluhan tahun dan struktur organisasi yang lengkap sering dilayan seolah-olah setaraf dengan sebuah parti yang masih bergelut dengan konflik dalaman berpanjangan.
PAS sebenarnya telah memberi ruang dan masa untuk BERSATU melakukan pembetulan. Namun tempoh yang diberikan itu tidak digunakan untuk muhasabah atau memperbaharui komitmen. Sebaliknya, BERSATU terus mempertahankan pendirian secara defensif, menunjukkan sikap angkuh dan akhirnya memilih untuk menyalahkan PAS atas kegagalan hubungan tersebut.
Dalam keadaan sedemikian, PAS dilihat tidak mempunyai banyak pilihan selain menamatkan kerjasama yang semakin tidak produktif dan semakin membebankan perjuangan politiknya. Lebih menarik, PAS tidak melihat perpisahan ini sebagai satu kerugian besar. Sebaliknya, ramai dalam PAS percaya ia membuka ruang kepada nafas baharu menjelang PRN Johor, PRN Negeri Sembilan dan seterusnya PRU16.
Jentera pilihan raya PAS telah lama digerakkan di semua peringkat, daripada cawangan sehingga ke pusat. Parti itu juga mempunyai kelompok pemimpin dan calon yang semakin ramai, berpendidikan tinggi serta berpengalaman dalam pentadbiran negeri.
Malah, berakhirnya hubungan dengan BERSATU turut membuka ruang kepada pembentukan gabungan politik yang lebih luas dan lebih stabil. Parti-parti seperti BERJASA, PEJUANG, parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin serta beberapa parti lain kini berpotensi menjadi sebahagian daripada blok politik baharu yang lebih tersusun bagi menghadapi PRU16.
Hakikatnya, PAS memasuki fasa baharu dengan keyakinan bahawa kekuatan sebenar sesebuah parti bukan terletak pada jumlah kerusi semata-mata, tetapi pada kestabilan organisasi, disiplin kepimpinan, kekuatan jentera dan kejelasan hala tuju perjuangan.
Jika ada pihak yang mahu mencari punca keretakan hubungan ini, jawapannya mungkin tidak perlu dicari jauh-jauh. PAS telah menunjukkan kesediaan untuk terus bergerak ke hadapan. Persoalannya kini, adakah BERSATU bersedia mengakui bahawa sebahagian besar kegagalan itu sebenarnya berpunca daripada kelemahan mereka sendiri? Sudah tentu tidak.
DR KHALID HAMKA
Penganalisa Politik – HARAKAHDAILY 10/6/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS











