
KUALA LUMPUR: Keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU bukan bermaksud memutuskan hubungan atau silaturahim antara ahli dan pimpinan kedua-dua parti, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada PAS dan BERSATU menentukan hala tuju masing-masing tanpa terikat dalam kerjasama politik.
“Keputusan ini bukan bermaksud PAS mengutamakan permusuhan. Penghentian kerjasama politik ini merupakan ruang kebebasan bagi setiap parti untuk menentukan hala tuju masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial, hari ini.
Menurut beliau, pengalaman kerjasama antara PAS dan BERSATU sebelum ini memperlihatkan pelbagai kesukaran dan kekangan yang menjejaskan hubungan politik kedua-dua pihak.
Katanya, antara isu yang timbul ialah kesukaran menjemput Ahli Parlimen atau pimpinan tertentu daripada BERSATU ke program anjuran PAS yang dikatakan tidak disenangi sebahagian pihak dalam BERSATU.
Beliau turut berkata usaha memperluaskan kerjasama politik dengan membawa parti lain seperti BERJASA, PEJUANG dan PERKASA menyertai Perikatan Nasional tidak berjaya berikutan bantahan daripada BERSATU.
Selain itu katanya, tindakan BERSATU di Perlis dan Negeri Sembilan serta kenyataan provokatif oleh sebahagian pemimpin parti itu terhadap PAS turut menjadi faktor yang memburukkan hubungan antara kedua-dua parti.
“PAS akhirnya tidak mempunyai pilihan lain melainkan membawa isu kerjasama ini kepada Majlis Syura. Hasil kajian dan mesyuarat yang dibuat, Majlis Syura telah mengemukakan pandangannya untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa PAS Pusat,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka berkata, selepas melalui perbincangan panjang, PAS membuat keputusan secara sebulat suara untuk menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU.
“Maka, setelah melalui perbincangan yang panjang, PAS membuat keputusan secara sebulat suara untuk menghentikan kerjasama dengan BERSATU,” ujarnya.
Menurut beliau, hubungan persahabatan dan ukhuwah antara ahli serta pimpinan kedua-dua parti akan terus dipelihara walaupun kerjasama politik berakhir.
“Saya berharap agar kita akan terus bersatu demi kebaikan ummah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian susulan PAS mengumumkan keputusan menamatkan kerjasama politik dengan BERSATU.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dipersetujui Majlis Syura Ulama PAS pada 2 Jun lalu selepas meneliti aspek dasar, pertimbangan syarak dan kepentingan umum berkaitan kerjasama politik berdasarkan prinsip Penyatuan Ummah.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut menilai kedudukan semasa serta hala tuju hubungan PAS dan BERSATU menerusi laporan, kajian dan penilaian terhadap landskap politik semasa.
Kerjasama antara PAS dan BERSATU bermula secara rasmi menerusi penubuhan Perikatan Nasional pada Ogos 2020 sebelum keputusan penamatannya diumumkan oleh PAS minggu ini. – HARAKAHDAILY 10/6/2026















