
TEHRAN: Empat sasaran penting di pangkalan udara AS di Al-Azraq di Jordan termasiuk hangar jet tempur F35, musnah diserang peluru berpandu Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada Rabu.
Jabatan Perhubungan Awam IRGC mengumumkan perkembangan itu dalam satu kenyataan pada pagi Rabu yang turut memusnahkan pusat arahan dan kawalan tentera AS di Jordan.
“Berikutan kejayaan operasi Tentera Laut IRGC dalam menyerang 21 sasaran di pangkalan udara dan tentera laut AS di rantau Asia Barat ini dan menembak jatuh sebuah dron MQ9 di langit bandar Jam (di selatan Iran), susulan tindakan jahat musuh yang berterusan dan dalam menyelesaikan operasi balas (Iran); pasukan Islam dan pahlawan berani Pasukan Aeroangkasa IRGC dengan teknologi peluru berpandu bahan api pepejal jarak jauh, telah berjaya memusnahkan empat sasaran penting termasuk hangar jet pejuang F35 di pangkalan udara AS dan pusat arahan dan kawalan tentera AS di Jordan,” tegas kenyataan itu.
Kenyataan itu juga berkata, IRGC bersedia untuk memberikan tindak balas yang tegas terhadap sebarang pencerobohan baharu oleh pihak musuh, dan Amerika Syarikat akan bertanggungjawab sepenuhnya atas akibat sebarang pencerobohan baharu.
Pada Rabu, Angkatan Tentera Iran telah menjalankan serangan peluru berpandu dan dron ke atas sasaran Amerika di rantau ini.
Ia dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan tentera pengganas AS di kawasan di selatan Iran.
AS melancarkan beberapa serangan ke atas wilayah selatan Iran, termasuk Qeshm, Jask, Sirik, dan Bandar Abbas pada awal pagi Rabu dengan alasan menembak jatuh helikopter mereka di Selat Hormuz. – HARAKAHDAILY 10/6/2026











