
KOTA BHARU: Dua wakil parti BERSATU dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan kekal menjalankan tugas seperti biasa walaupun PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan parti itu.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan; dan ADUN Ayer Lanas, Datuk Kamarudin Md Nor yang turut memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri.
Menurut beliau, keputusan PAS itu melibatkan urusan parti dan tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri buat masa ini.
“Buat masa ini mereka terus menjalankan tugas seperti biasa.
“Urusan politik dan pentadbiran kerajaan perlu dibezakan. Keputusan itu dibuat di peringkat parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan wakil BERSATU dalam pentadbiran negeri.
“Hubungan PAS dan BERSATU di Kelantan juga berjalan seperti biasa sementara menunggu keputusan lanjut,” tegasnya.
Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan PAS secara rasmi telah memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu menegaskan bahawa ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS pada lewat Isnin.
Tuan Guru juga memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.
Beliau juga menyatakan bahawa PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – HARAKAHDAILY 10/6/2026











