PAS henti kerjasama dengan BERSATU: Ini sebabnya!

Dr Wan Mat Sulaiman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu (DUPNT), Prof Madya Dr Wan Mat Sulaiman berkata kerjasama PAS dengan BERSATU serta parti-parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) sebelum ini berasaskan prinsip ta‘awun siyasi yang bertujuan membentuk gabungan politik Islam-Melayu yang lebih luas.

Justeru menurut beliau, apabila didapati BERSATU menjadi penghalang kepada usaha ini dengan menolak kemasukan parti Melayu-Islam lain ke dalam PN, maka matlamat utama ta‘awun siyasi terhalang.

- Advertisement -

“Dari sudut fiqh siyasi, kerjasama politik mestilah berteraskan prinsip saling tolong-menolong dalam mencapai matlamat bersama, dengan cara mengambil keputusan bersama terutama dalam membuat tindakan yang mempunyai kepentingan bersama, saling hormat-menghormati dasar dan agenda parti masing-masing.

“Apabila konsep ta‘awun ini dilanggar sepertimana yang berlaku di Perlis dan Negeri Sembilan, ia sekali lagi telah merungkai tali ikatan ta‘awun siyasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kata beliau, konsep ta‘awun siyasi dalam kerangka siasah syar‘iyyah bersifat fleksibel dan strategik, namun tetap terikat dengan matlamat untuk mencapai maslahat umum serta memperkukuhkan perpaduan Islam.

“Namun, apabila dilihat dengan bukti yang nyata dan jelas bahawa matlamat ini diabaikan, apatah lagi apabila keputusan tersebut jelas memberi kesan negatif dan buruk kepada rakan ta‘awun, maka wajar dibuat penilaian semula,” ujarnya.

Tambah beliau, PAS sejak dahulu konsisten memperjuangkan agenda penyatuan ummah melalui pelbagai platform kerjasama politik termasuk Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Menurutnya lagi, parti itu sentiasa terbuka menerima penyertaan mana-mana parti Melayu-Islam bagi memperkukuhkan kekuatan politik umat Islam di negara ini.

“Dalam Perikatan Nasional dan lain-lain, PAS tak pernah berganjak dari agenda perpaduan ummah ini, malah banyak berkorban demi menuju ke arah matlamat besar ini.

“Ketika mana berada dalam MN, PAS sentiasa mengalu-alukan rakan ta‘awun lain selain Umno ketika itu termasuk BERSATU. Begitu jugalah sekarang dalam PN, PAS tetap dengan prinsip yang sama, mengalu-alukan parti Melayu lain bersama bagi menguatkan agenda perpaduan ini.

“Apabila rakan ta‘awun sudah berada pada posisi yang menjadi penghalang kepada agenda perpaduan ummah dan berkeras dengan pendirian mereka untuk menyekat kemasukan parti-parti lain ke dalam PN, maka pendirian tersebut sudah tidak lagi seiring dengan tujuan utama ta‘awun siyasi melalui PN ini diwujudkan,” katanya.

Sehubungan itu, DUPNT menyeru seluruh ahli dan pendukung parti menerima keputusan PAS Pusat berhubung hala tuju kerjasama politik parti itu tersebut dengan jiwa besar serta penuh keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan.

“Keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti adalah hasil penelitian mendalam terhadap laporan, analisis dan perkembangan politik semasa,” jelasnya.

Menurut beliau, ahli PAS perlu terus mengekalkan semangat wala’ dan thiqah kepada pimpinan dalam memastikan agenda perjuangan Islam serta perpaduan ummah dapat diteruskan.

“Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu menyeru seluruh ahli dan pendukung perjuangan agar menerima keputusan PAS Pusat dengan jiwa besar, penuh wala’ dan thiqah kepada kebijaksanaan pimpinan.

“Insya-Allah, apa jua yang diputuskan adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam dan kepentingan penyatuan ummah,” katanya.

Pada lewat Isnin, Harakahdaily melaporkan PAS secara rasmi melalui pengumuman residen PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta.

Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS pada Isnin.

Tuan Guru juga memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.

Dalam masa sama, beliau menyatakan bahawa PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – HARAKAHDAILY 10/6/2026

- Advertisement -