
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meneruskan momentumnya di pentas siasah negara walaupun selepas menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU baru-baru ini.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman memaklumkan, Sabtu (13 Jun) ini bakal menyaksikan berlangsungnya dua peristiwa penting membabitkan kepemimpinan parti itu.
Menurut beliau, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima undangan bekas Timbalan Presiden BERSATU yang dipecat, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dan bersetuju untuk hadir merasmikan Konvensyen RESET di Kelantan.
Mohd Syahir turut menjelaskan, pada hari sama, ceramah perdana di Negeri Sembilan akan menyaksikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menerima kemasukan lebih 10 tokoh daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai PAS.
“10 tokoh (tersebut) terdiri daripada profesional, korporat dan pentadbiran untuk menyertai PAS,” katanya dalam satu kenyataan dimedia sosial.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa, Mesyuarat Agung PAS kawasan sedang berlangsung di seluruh negara.
“Dengan ahli dan cawangan yang bertambah, PASTI dan SRITI yang dibuka, serta aktiviti kebajikan yang berterusan,” jelasnya..
Beliau berpandangan, perkembangan berkenaan memperlihatkan PAS terus bergerak aktif dalam pelbagai aspek organisasi dan kemasyarakatan meskipun landskap kerjasama politik negara mengalami perubahan.
Perkembangan tersebut dilihat selari dengan kenyataan Tuan Guru pada 8 Jun lalu yang menyatakan bahawa parti itu sedang meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16.
Tuan Guru turut menyatakan bahawa PAS menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu. –
HARAKAHDAILY 12/6/2026


















