Tidak lemah bila pertahan prinsip mengatasi peluang kuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS sentiasa meletakkan prinsip perjuangan Islam mengatasi kepentingan kuasa politik, termasuk ketika parti itu berada dalam kedudukan yang hampir untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, ramai pihak mempersoalkan mengapa PAS sanggup membuat keputusan yang dilihat merugikan parti ketika kedudukannya semakin kukuh dan hanya selangkah menuju Putrajaya.

- Advertisement -

Menurut beliau, berdasarkan logik politik biasa, PAS boleh mengekalkan kedudukan sedia ada memandangkan parti itu mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai dalam blok pembangkang, menguasai tiga negeri dan dilihat semakin mendapat sokongan rakyat.

Namun, terang Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu, PAS tidak menjadikan kuasa sebagai matlamat utama perjuangan di mana jika itu tujuannya maka sudah tentu keputusan yang dibuat akan berbeza.

“Bagi PAS, prinsip Islam sentiasa lebih penting daripada kedudukan dan jawatan. Selagi prinsip itu dihormati, kerjasama boleh diteruskan. Tetapi apabila prinsip mula diketepikan, PAS akan tetap mempertahankannya walaupun terpaksa menanggung risiko,” jelasnya.

Muhammad Hanif menegaskan, pendirian itu bukan sesuatu yang baharu kerana PAS pernah mengambil pendekatan sama ketika bersama Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, ketika itu PAS berada dalam kedudukan yang hampir untuk memerintah negara, namun memilih mempertahankan prinsip perjuangan apabila berlaku perkara yang dianggap bercanggah dengan dasar parti melibatkan DAP.

“Ketika itu peluang untuk memerintah negara memang sangat dekat. Namun apabila berlaku perkara yang bercanggah dengan prinsip perjuangan PAS yang dilanggar oleh DAP, parti ini memilih untuk mempertahankan prinsip tersebut walaupun terpaksa melepaskan peluang besar,” jelasnya.

Beliau berkata, pengalaman lalu menunjukkan PAS tidak menjadi lemah setiap kali mempertahankan prinsip perjuangannya, malah terus berkembang dan memperkukuhkan kedudukan politiknya.

“Dan apa yang menarik, setiap kali PAS berpegang teguh kepada prinsip, PAS tidak semakin lemah. Sebaliknya semakin kuat dan terus berkembang.

“Sebab itu PAS tidak pernah meletakkan kuasa sebagai segala galanya. Kuasa boleh datang dan pergi, tetapi prinsip tidak boleh dijual beli,” tegasnya.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa PAS akan terus dipelihara dan diperkukuhkan selagi istiqamah berpegang kepada ajaran Islam serta prinsip perjuangannya.

“Yang penting bukan secepat mana kita sampai ke destinasi, tetapi memastikan perjalanan itu sentiasa berada di atas landasan yang betul,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2026

- Advertisement -